PERLU habiskan pengajian dulu sebelum meneruskan minat dalam lakonan.
Oleh Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


MINAT mendalam dalam bidang lakonan membuatkan Hun Haqeem sentiasa berusaha menempatkan diri dalam dunia hiburan.

Jejaka berusia 21 tahun yang sudah setahun bergelar pelakon ini mengakui perjalanan kerjayanya masih panjang.

“Saya memang sudah pasakkan dalam diri untuk menjadi pelakon. Ini kerana bidang lakonan menjadi antara impian yang sudah lama saya pendam.

“Bagaimanapun, saya perlu menghabiskan pelajaran buat masa ini. Kemudian barulah teruskan minat dalam lakonan kerana tidak boleh abaikan pengajian saya,” katanya.

Sudah membintangi tiga drama, Hun yang berjinak-jinak mendekati dunia lakonan ketika menjalani latihan praktikal di Jabatan Komunikasi Korporat, The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), tahun lalu tidak kisah jika perjalanannya agak perlahan.

“Ketika menjalani latihan praktikal, saya cuba nasib. Namun, tiada tawaran diterima sehinggalah Disember tahun lalu. Saya ditawarkan berlakon dalam telefilem Tasbih Usang terbitan Hypptv bersama Riena Diana dan Nam Ron.

“Sebenarnya, saya masih berlatih dan memperbaiki teknik lakonan. Banyak yang perlu saya belajar dan pertingkatkan,” katanya.

Siapa sangka, memiliki wajah yang kacak, perjalanan Hun dalam dunia seni menjadi lebih mudah apabila disunting syarikat produksi Metrowealth (MIG) sejak November, tahun lalu.

Namun, Hun tidak mahu terburu-buru dalam mencipta kemasyhuran.

“Saya utamakan pelajaran. Jadi, selepas tamat pengajian dalam bidang komunikasi korporat di sebuah kolej swasta, barulah saya beri tumpuan kepada bidang lakonan,” katanya yang berasal dari Kuching, Sarawak.

Tambah anak bongsu daripada empat beradik ini, salah seorang kakaknya pernah terbabit dalam dunia muzik, namun memperlahankan rentak.

“Kakak sulung pula bertugas sebagai peguam. Abang pula sedang mengikuti pengajian perubatan di Russia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 5:00 AM