SHUIB kali kedua mendapat anugerah dalam bidang perniagaan tahun ini. FOTO Sudirman Mohd Tahir
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


PELAWAK terkenal, Shuib Sepahtu berkongsi tip kejayaan dalam perniagaan dengan mengamalkan bacaan surah al-Waqiah dan memperbanyakkan amalan bersedekah.

Shuib, 35, atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad berkata, amalan itu dibuat sejak tahun ini selain menganggap ia rezeki daripada Allah SWT.

Katanya, tip jika ingin berjaya dalam perniagaan selain kena berusaha bersungguh-sungguh adalah sokongan daripada orang terdekat, seperti dirinya adalah isteri tercinta.

“Satu lagi adalah banyakkan bersedekah. Ia baru tahun ini dipraktikkan. Memang betul, bangun pagi dan waktu malam dengar surah al-Waqiah.

“Kadang-kadang bukan kita yang hebat, tapi Allah hantar orang hebat untuk membantu kita. Sebelum ini berasakan diri boleh buat semuanya, tapi sampai satu tahap timbul perasaan putus asa dan tak boleh pergi.

“Tapi, apabila Allah hantar orang hebat kepada kita, ia menaikkan semula semangat kita,” katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu Shuib yang juga penyampai radio Hot FM ditemui pada acara Malaysia Prestigious Industry Award 2019 (MPIA) yang berlangsung di sebuah hotel di Putrajaya, semalam.

Pada majlis itu, Shuib dianugerahkan Prestigious Leader In Retail Chain & Lifestyle Industry menerusi perniagaan madu, Bee Factory yang diusahakan sejak tujuh tahun lalu.

“Alhamdulillah, ini kali kedua dalam tahun ini mendapat anugerah dalam bidang perniagaan. Secara peribadi, saya menganggap ini tahun kecemerlangan saya.

“Anugerah ini sekali gus memberikan semangat kepada saya untuk lebih maju dalam bidang ini. Kalau anugerah dalam kerjaya seni, perasaan lain. Begitu juga dengan anugerah perniagaan, ia sesuatu yang sangat istimewa.

“Bukan apa, ini adalah yang kita usahakan sendiri dan bukannya menerusi undian peminat. Bidang ini saya usaha dan bina dari dulu. Kiranya, ia sangat bermakna untuk saya,” katanya.

Selain Shuib, beberapa selebriti lain seperti Datuk Ramli MS, Datuk Yusof Haslam, Datuk Hans Isaac, Erra Fazira dan Zara Zya turut menerima anugerah menerusi kategori berbeza.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 6:07 PM