ALI anggap lagu Doa bukan sekadar berhibur tapi juga ada unsur nasihat dan ketuhanan. FOTO Arkib NSTP
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


KUMPULAN heavy metal terkenal, XPDC teruja apabila lagu mereka berjudul Doa turut dipertandingkan dalam Anugerah Nasyid 19 (AN19) anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada 30 November ini.

Lagu berkonsep dakwah ciptaan Izo itu akan bersaing dengan 11 lagu lain dalam pertandingan akhir di Dewan Besar IKIM, Kuala Lumpur.

Penyanyinya, Mohd Ali Ismail atau Ali, 51, bersyukur kerana lagu itu terpilih bersama lagu lain dalam pertandingan terbabit.

“Gembira dan teruja kerana ada sedikit kelainan, Ini Anugerah Nasyid sedangkan kami sebuah kumpulan rock.

“Apapun walaupun agak kekok, kami tetap terima kenyataan kerana lagu ini sendiri berjudul Doa.

“Mudah-mudahan lagu ini menjadi asbab terbaik sebagai doa buat semua. Walaupun jauh beza dari segi imej, tapi matlamat kami ialah menyampaikan mesej dakwah kepada masyarakat,” katanya kepada Harian Metro.

Ali berkata, memang menjadi matlamat mereka tampil dengan konsep dakwah menerusi album berjudul Doa yang dihasilkan pada Oktober tahun lalu.

“Inilah motif kami apabila kebanyakan lagu yang dimuatkan berunsur nasihat dan ketuhanan. Bukan sahaja sekadar berhibur tapi juga ingin sampaikan sesuatu yang bermanfaat dan berfaedah kepada masyarakat dan juga diri kami sendiri.

“Lagu ini dicipta dan disasarkan untuk dimainkan di semua stesen radio dan bukannya IKIM FM sahaja. Bagaimanapun Doa dapat sambutan di radio ini dan mereka ternyata banyak bagi sokongan kepada kami.

“Apabila terpilih ke pentas akhir, kami pasti akan buat persediaan secukupnya termasuk cara berpakaian. Namun kami belum putuskan untuk pakai bentuk macam mana lagi. Tengoklah pada keadaan nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Ali memberitahu album Doa mendapat sambutan baik daripada peminat kerana mereka banyak mengadakan promosi di luar.

“Kami sering keluar bagi mempromosikan album ini terus kepada peminat. Insya-Allah, kami akan terus fikirkan cara terbaik untuk memperkenalkan lagi album ini kepada peminat,” katanya.

Selain Ali, XPDC turut dianggotai Izo (gitar), Lola (dram) dan Eddie (bass) serta Ariff sebagai pemain gitar undangan.

Pentas AN19 boleh disaksikan melalui saluran www.ikim.my dan www.tvikim.my.

Sebanyak 11 kategori dipertandingkan membabitkan Juara Anugerah Lagu Terbaik, Naib Juara Anugerah Lagu Terbaik, Ketiga Anugerah Lagu Terbaik, Anugerah Lirik Terbaik, Anugerah Vokal Terbaik, Anugerah Persembahan Terbaik, Anugerah Artis Baru Terbaik dan Anugerah Muzik Video Terbaik.

Turut dimuatkan ialah anugerah berdasarkan pilihan pendengar serta penonton seperti Anugerah Lagu Pilihan, Anugerah Artis Solo Pilihan dan Anugerah Artis Duo/Berkumpulan Pilihan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 9:33 PM