PU Syed minta pihak berwajib gubal undang-undang khas bagi mencegah artis yang menunjukkan gaya kehidupan negatif. FOTO Facebook PU Syed
Ardini Sophia Sina
hellinie@hmetro.com.my


"ADAKAH terlalu murah perintah Allah dan larangan Allah ini sehingga kalian berani melanggarnya?"

Demikian kata Pencetus Ummah (PU) Syed Mohd Bakri Syed Ishak menerusi teguran terbuka di Instagram hari ini buat pelakon utama drama Setelah Ku Dimiliki iaitu Intan Najuwa dan Zul Ariffin berikutan gambar aksi mesra yang tular baru-baru ini.

Menerusi perkongsian itu juga, PU Syed mencadangkan supaya kedua-dua pelakon itu berkahwin saja.

"Sebaiknya, kalian bernikah sahaja dan sudah pasti boleh lakukan apa sahaja secara halal namun tetap ada batasannya.

"Sebagai seorang Muslim, syarak ada menetapkan sesuatu yang halal dan haram. Apatah lagi kita semua mengatakan takut dihumban ke neraka dan ingin masuk ke syurga namun kita lakukan sebaliknya seolah-olah teringin ke neraka,” tulisnya.

PU Syed turut menyarankan supaya Menteri Agama dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membuat garis panduan buat selebriti Malaysia bagi membendung gaya hidup negatif.

"Saya rasa pihak berwajib perlu gubal undang-undang khas bagi mencegah artis yang menunjukkan gaya kehidupan negatif supaya mereka kembali kepada landasan yang sebenar.

"Tersebarnya gambar kalian berdua berpelukan seakan suami isteri di dalam air. Bagaimanapun, saya tidak mahu kongsikan kerana ia sangat tidak senonoh walau apa jua alasan," tulisnya.

Semalam, Harian Metro melaporkan kenyataan daripada pengarah Osman Ali serta penolong pengarah, Jai Nadxaman yang menegaskan aksi mesra dalam foto berkenaan bukan babak dalam drama.

Berita berkaitan

Buat aksi mesra sendiri, tiada dalam skrip

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 7:56 PM