ANGGOTA Qiara bersama AJ Mentor (dua dari kanan) yang pernah menjadi penyanyi undangan mereka.
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


LAGU Hanya Padamu, Yang Kan Terjadi Tetap Terjadi dan Menyesal adalah antara lagu popular kumpulan Qiara ketika tampil dalam industri muzik menerusi album Hanya Padamu pada 1992 diikuti Bayu Asmara setahun selepas itu.

Populariti lagu itu yang sering dimainkan di semua stesen radio tanah air sehingga kini ternyata membakar semangat mereka apabila tampil menghiburkan peminat dalam persembahan An Evening With Qiara di kelab hiburan 11LA @ G Tower, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Qiara yang kini dianggotai empat pemuzik berpengalaman iaitu Wan Qiara (gitar), Wan Tod (penyanyi), Reza (bass) dan Jon (dram) berjaya memberikan persembahan menarik serta menghiburkan.

Dibantu penyanyi undangan iaitu AJ Mentor Otai, keseluruhan 22 lagu yang disampaikan termasuk lagu ‘cover version’ seperti Rindu Bayangan, Mengapa Perpisahan Kau Pinta, Tiada Lagi Aku dan Sejuta Wajah sudah cukup membuktikan kematangan Qiara sebagai kumpulan ‘otai’.

Ini kali kedua mereka mengadakan persembahan bersama anggota terkini dan ia diterima baik peminat.


KUMPULAN Qiara (dari kiri) Reza, Wan Tod, Wan Qiara dan Jon.

Wan Qiara yang juga pengasas kumpulan itu berkata, sebelum ini mereka hanya terbabit dalam persembahan berskala kecil.

“Sambutan yang diterima pun dikira baik dan ia amat positif sebagai permulaan untuk Qiara membuat kemunculan semula dalam industri muzik.

“Di setiap lokasi persembahan, pasti ada peminat hadir dan kami amat menghargai mereka. Tak ramai yang tahu Qiara kini sudah kembali aktif. Ia perlukan sedikit masa untuk dihebahkan,” katanya.

Qiara yang dulu artis di bawah syarikat rakaman Sony Music kini bergerak sendiri di bawah syarikat Go Qiara Production.

“Kami juga baru tampil dengan single berjudul Kembali Padaku dan memerlukan sedikit masa untuk bangkit semula. Segala-galanya kami buat sendiri sekarang.

“Orang tahu lagu lama kami, tapi tak sepenuhnya tahu kami sudah kembali aktif. Kami tak mampu nak promosikan single terbaharu tanpa kerjasama pelbagai pihak.

“Keadaan sekarang memang mencabar dan kami perlu memanfaatkan semuanya seperti medium media sosial untuk mempromosikannya. Tak salah kalau kami diibaratkan seperti kumpulan indipendent kerana perlu bermula dari bawah semula,” katanya.

Sementara itu, Wan Tod gembira kerana Qiara sudah mula mendapat jemputan daripada pelbagai pihak untuk mengadakan persembahan dan percaya Qiara akan kembali mendapat tempat di hati peminat.

“Untuk persembahan tertutup dikira banyak, tapi kami belum tahap dijemput terbabit dalam mana-mana konsert.

“Bagaimanapun, kami gembira kerana sekurang-kurangnya Qiara masih diingati ramai dan dengan sokongan yang diberikan mampu bertahan dalam industri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 6:00 AM