AKSI mesra antara Zul Ariffin dan Intan Najuwa mengundang persoalan ramai kerana tiada adegan sebegitu dalam skrip drama Setelah Ku Dimiliki.
Norhayati Nordin dan Ardini Sophia Sina
am@hmetro.com.my


"SAYA sangat terkejut dengan penularan gambar berkenaan," kata pengarah terkenal, Osman Ali berhubung gambar mesra pelakon utama drama Setelah Ku Dimiliki, Zul Ariffin dan Intan Najuwa.

Osman ketika dihubungi turut menafikan bahawa gambar berkenaan bukanlah sebahagian daripada gimik bagi menaikkan 'rating' naskhah itu.

Menurutnya, dia tidak berada di lokasi untuk melakukan penggambaran montaj bulan madu membabitkan watak Adriz dan Sarra.

"Saya berada di Kuala Lumpur kerana ada urusan dan tanggungjawab pengarahan untuk montaj berkenaan diserahkan kepada penolong pengarah, Jai Nadxaman.

"Apa pun, saya terkilan kenapa ada pihak sengaja nak sebar dan tularkan gambar berkenaan. Saya kalau boleh tidak mahu ada elemen sebegitu dalam drama.

"Bagaimanapun, saya sudah dapatkan kepastian daripada semua pihak yang terbabit di lokasi dan jelas tiada langsung penggambaran terbabit dalam adegan drama Setelah Ku Dimiliki," katanya.


OSMAN mengesahkan tiada langsung penggambaran terbabit dalam adegan drama Setelah Ku Dimiliki. FOTO Arkib NSTP

Sementara itu, Jai mengakui dia sebenarnya melakukan dua versi penggambaran bagaimanapun kedua-dua tidak menyelitkan adegan seperti dalam gambar yang tular.

"Saya 'shoot' dua versi bagaimanapun babak masih sama iaitu hanya berlari berkejaran di tepi pantai. Saya terpaksa 'shoot' versi kedua kerana pantai versi pertama kurang menarik.

"Gambar mesra dalam laut itu tidak ada dalam 'footage' kamera kami dan saya tidak tahu apa-apa mengenai gambar berkenaan.

"Tidak ada adegan seperti itu dalam montaj bulan madu dirakamkan," katanya.

Drama Setelah Ku Dimiliki sebanyak 28 episod itu kini ditayangkan menerusi slot Akasia TV3 setiap Isnin hingga Jumaat pada jam 7 malam.

Bagaimanapun, usaha Harian Metro untuk mendapatkan komen daripada Intan masih belum berbalas.

Gambar mesra Intan diangkat dan didukung oleh Zul mulai tular sejak dua hari lalu.

Sebelum ini, timbul isu mengatakan hubungan Intan dan tunangnya, Fazrul Anwar Rulis goyah berikutan gambar memperlihatkan Zul meletakkan tangan di paha pelakon itu hingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan warganet.

Intan dan Fazrul melangsungkan pertunangan pada 18 Ogos lalu di sebuah hotel ternama di Johor Bahru.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 9:42 PM