EFFA hanya mampu menangis memikirkan masa depan empat anaknya. FOTO Ihsan Effa Nareesha
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


“SETIAP hari saya termenung kenangkan nasib diri. Bukan saya tak ikhtiar untuk sembuh. Dah macam-macam ubat dan makanan tambahan saya ambil serta rawatan dibuat tapi Allah belum izinkan untuk sembuh lagi,” keluh pelakon, Effa Nareesha berkenaan sakit jantung yang dihidapinya.

Effa, 41, atau nama sebenarnya Effa Nareesha Muhammed, mula mengalami tanda awal penyakit itu pada 6 September lalu, tetapi hanya dikejarkan ke Hospital Shah Alam pada 17 September selepas mengalami serangan jantung yang serius.

Genap dua bulan terlantar sakit, pelakon yang pernah membintangi pelbagai drama antaranya Penjara Seorang Isteri, Doa Depan Kaabah dan filem Khurafat mengakui hanya mampu menangis memikirkan masa depan empat anaknya.

Pelakon berstatus ibu tunggal itu menyara dua anak lelaki dan dua anak perempuan berusia 17, 16, 15 tahun dan setahun lapan bulan (hasil perkahwinan kedua) menerusi lakonan dan berniaga produk makanan kering menerusi pertubuhan Gagasan Anak Seni (GTAS) serta secara atas talian.

“Saya tak tahu macam mana nak cari rezeki dalam keadaan sekarang. Nak berlakon tak boleh dan nak memasak lagilah tak boleh kerana saya tak dibenarkan banyak bergerak.

“Ada dua acara saya terpaksa tolak kerana keadaan kesihatan yang tak mengizinkan. Saya pun tak boleh terlalu penat kerana apabila rasa penat, dada akan tersekat sehingga hilang suara dan doktor beritahu maknanya itu saya kena angin ahmar ringan.

“Allahuakbar berat ujian untuk saya kali ini dan seakan nak menangis apabila memikirkan semuanya. Saya sebenarnya tak boleh stres kerana risau kena serangan jantung semula. Apapun saya reda,” katanya.

Pelakon yang pernah berkahwin dengan seorang pemain bola sepak terkenal itu berkata, dia sepatutnya menjalani proses CT Angiogram Koronari di Hospital Serdang hari ini, namun terpaksa dibatalkan kerana berisiko tinggi.

“Setiap hari saya tahan sakit dada walaupun dah makan ubat. Sakitnya kurang sekejap kemudian jadi semula. Saya sentiasa berdoa tak perlu buat pembedahan pintasan jantung. Itu jalan terakhir kalau ada lebih daripada tiga saluran darah tersumbat.

“Harapan untuk buat CT Angiogram Koronari berkecai apabila doktor sahkan saya ada sakit lelah dan amat berisiko jika diteruskan.

“Jadi doktor tunda kepada 10 Disember depan. Malamnya sebelum berpuasa, saya kena telan 8 biji ubat lelah dan jam 8 pagi kena makan 8 biji lagi,” katanya.

Menurutnya, selama dua bulan sakit dia hanya terbaring di atas katil dan tidak mampu langsung untuk mendokong anak kecilnya.

Effa mula dikesan menghidap sakit jantung sejak 1997 dan pernah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) selepas pengsan tak sedarkan diri selama tiga hari pada tahun sama.

Dia sudah berhabis hampir RM100,000 untuk rawatan sakit jantung yang dideritainya dan untuk kos pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN), dia perlu menyediakan lebih RM60,000.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 9:19 PM