ANNE tak boleh buat sesuatu mengikut cara sendiri sebagai presiden GTAS dan perlu mengikut suara majoriti. FOTO Facebook Anne Abdullah
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


BIARPUN penubuhan Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS) lebih menjurus kepada platform di bidang perniagaan, presidennya, Anne Abdullah tetap tidak lupa menghulurkan bantuan kepada ahlinya yang kurang bernasib baik.

“Fungsi GTAS adalah mencari peluang menambah pendapatan ahli menerusi perniagaan dan kami bukanlah badan kebajikan.

“Tapi atas rasa simpati, kami tetap menyumbang sedikit sebanyak wang kepada beberapa ahli yang pernah berdepan masalah seperti Effa Nareesha yang mempunyai sakit jantung, ibu Fauziah Nawi yang kehilangan anak lelaki baru-baru ini serta Zur Eda yang mana rumahnya dilanda banjir sebelum ini.

“Sumbangan ini bukanlah besar sangat kerana kami pun tak banyak sumber kewangan. Mana wang yang ada dapat kami kumpul serta duit pendaftaran ahli, kami akan bagi kepada mereka yang layak menerimanya atas dasar simpati,” katanya.

Menurut Anne, duit dalam GTAS tidak akan digunakan sewenang-wenangnya kerana perlu mendapat persetujuan ahli selain kegunaan untuk Mesyuarat Agung Tahunan.

“Sebagai presiden, saya tak boleh buat sesuatu mengikut cara sendiri. Diikutkan majoriti ahli GTAS terdiri daripada ibu tunggal yang perlu mencari pendapatan sampingan selain berlakon.

“Saya nampak kegigihan mereka berniaga pelbagai produk seperti makanan kering, pakaian, produk kraftangan dan banyak lagi.

“Sekarang, ada produk ahli GTAS sudah dijual di kedai Mesra Petronas seluruh Malaysia dan di Rosyam Mart. Bahkan kami sekarang sedang cuba untuk masuk pasar raya Mydin dan Ikhwan serta berusaha menjalinkan kerjasama dengan Mak Cun Mart,” katanya.

Terkini, GTAS bakal memeriahkan Go Tok Bali Cashless 2019 di Pantai Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan, Jumaat dan Sabtu ini dari jam 8 pagi hingga 11 malam.

Selebriti yang akan terbabit membuka gerai antaranya ialah Syanie, Nadia Kesuma, Dilla Ahmad, Sheila Hassan dan Anne sendiri.

“Seperti biasa, kami merangka aktiviti menarik seperti bot berhias, malam kebudayaan dan kesenian Islam, pertandingan mewarna, konsert dan booth jualan barangan daripada selebriti sepanjang karnival berlangsung.

"Ini peluang untuk rakyat Kelantan membeli-belah sambil bertemu artis. Saya harap mereka akan hadir beramai-ramai memeriahkan Go Tok Bali Cashless 2019.

“Saya berharap pembabitan GTAS dapat menarik perhatian pengunjung, selain membantu mereka mempromosikan perniagaan yang diusahakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 7:48 PM