SHAM Visa.
Rudy Imran Shamsudin
imran@mediaprima.com.my


LUAHAN hati dimuat naik anak sulung peserta Gegar Vaganza musim keenam (GV6), Sham Visa di Twitter semalam membuatkan bekas penyanyi Visa itu bergenang air mata.

Shakir Zafran, 16, pelajar tingkatan empat di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan memuat naik luahan hatinya mengenai pengorbanan bapanya yang meninggalkan dunia seni dan bekerja tetap demi memastikan masa depan keluarganya terjamin.

Sham berkata, dia tidak sedar mengenai perkara itu sehinggalah ada peminat dan pihak pengurusan memaklumkan kepadanya.

“Saya hilang kata-kata apabila membaca tulisan Shakir itu. Saya terharu dan tidak menyangka dalam usianya sekarang, dia matang dan peka dengan pengorbanan yang dilakukan saya mahupun ibunya sepanjang kami membesarkan dia dan adiknya,” katanya.

Menurut Sham, sudah menjadi tanggungjawab seorang bapa untuk melakukan yang terbaik bagi menyediakan keperluan keluarga terutama buat anak-anak.

Sebagai bapa, pastinya dia tidak pernah mengharapkan balasan terhadap apa juga pengorbanan yang dilakukan.

“Namun, apabila anak menghargai pengorbanan dilakukan ibu bapa dan meluahkan kepada umum, pastinya ia membuatkan mana-mana ibu bapa terharu, bangga dan berbunga di hati.

“Ia sangat berharga buat saya. Ia juga sangat manis kerana datang daripada permata hati dan pengarang jantung saya,” katanya.

Dalam status di Twitter itu, Shakir menjelaskan kepada peminat Sham di mana bapanya itu berkorban meninggalkan karier seni sebelum ini untuk membesarkan dirinya.

“Ayah meninggalkan perkara yang paling dia sayang semata-mata untuk memberi laluan kepada saya untuk mencapai impian. Kadang-kadang pengorbanan yang dilakukan sering kali dilepas pandang.

“Saya hargai apa yang ayah lakukan. Saya sayang ayah dan tiada kata yang dapat mengungkapkan betapa saya terlalu menyayangi ayah. Terima kasih atas segala-galanya,” tulisnya.

Luahan hati Shakir itu mendapat lebih 3,000 ulang ciap dan lebih 4,000 tanda suka.

LUAHAN hati anaknya di Twitter.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 2:06 PM