AYOB beranggapan tanda suka yang diraih BBNU hanyalah penipuan kerana ia dibeli pihak tertentu. FOTO Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohd_helmi@mediaprima.com.my


KONSORTIUM Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) bersetuju lambakan media sosial membantu penyanyi baharu untuk bertapak dalam industri seni tanah air, namun kehadiran terlalu ramai budak-budak baru nak up (BBNU) menghakis kualiti seseorang artis.

Presidennya, Ayob Abdul Majid berkata, platform YouTube seumpamanya menggalakkan BBNU berkarya tetapi di sebalik itu ia memberi kesan tidak baik.

"Kesannya adalah kualiti dan bakat penyanyi itu sudah tidak ada. Jika ada sekalipun, hanya sedikit," katanya mengulas mengenai laporan Harian Metro, hari ini.

Akhbar ini melaporkan kewujudan media sosial seperti YouTube membuka peluang kepada BBNU untuk berkarya dengan mereka menerima RM3,000 jika video muzik meraih sejuta tontonan.

Laporan dipetik berkata, keadaan itu berlaku disebabkan perkembangan teknologi sehinggakan penyanyi baharu tidak lagi cenderung menghasilkan album.

Mengulas lanjut, Ayob berkata, BBNU pada masa ini lebih mementingkan tanda suka bagi setiap karya yang dipaparkan berbanding kualiti persembahan.

"Dalam pengetahuan kami, tanda suka yang diraih hanyalah penipuan kerana ia dibeli pihak tertentu. Makluman ini diperoleh sebagaimana diperkatakan oleh penggiat seni tanah air," katanya.

Biarpun media sosial menggalakkan penciptaan karya baharu, Ayob yang berpengalaman 12 tahun berkhidmat bersama Sony Music, PonyCanyon Music, In Team Music, Nova Music, Power Record dan Scyncro Sound Studio merasakan karya itu sentiasa berulang.

"Saya ambil contoh lagu baharu, kebanyakan lagu yang dihasilkan memiliki melodi sama. Malah, melodi itu dikongsi oleh syarikat rakaman ataupun label untuk produk yang lain," katanya.

Walaupun BBNU dibantu media sosial, dia berpendapat, seseorang artis masih memerlukan sokongan media cetak untuk mempromosikan mereka.

Berita berkaitan

Sekarang semua boleh jadi artis

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 5:03 PM