KONSERT Ulangtahun ke-20 himpun 8,000 peminat dengan persembahan bertenaga 27 lagu popular.
Oleh Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


KEMUNCULAN semula band Butterfingers yang popular sekitar penghujung era 1990-an tentunya mengubat kerinduan peminat mereka.

Sabtu lalu, Butterfingers yang dianggotai Emmett, Loque, Kadak dan Loko menggegarkan Stadium Malawati, Shah Alam pada acara Konsert Ulangtahun ke-20 Butterfingers - Transcendence.

Tempoh usia 20 tahun dalam industri, Butterfingers berjaya mengumpul sejumlah besar peminat dan acara konsert itu sendiri berjaya menghimpunkan sehingga 8,000 peminat yang hadir dari seluruh pelosok negara.

Seawal jam 6 petang, peminat sudah mula berkumpul di pekarangan stadium dan menjadi umpama acara reunion berskala besar.


BUTTERFINGERS teruja kerana diberi peluang beraksi di depan ribuan peminat.

Berdurasi hampir tiga jam, Butterfingers tampil bertenaga mempersembahkan 27 lagu popular mereka sejak awal kemunculan.

Antaranya, Chemistry, Epitome, Meltdown, Mermaid, Doomsday, Faculties of the Mind, Floating, Mystery dan Mokhsha.

Tentunya, setiap lagu disampaikan mengimbau memori buat setiap penonton yang hadir dan sama-sama bersorak, menyanyi serta bertepuk tangan ketika Emmett selaku vokalis menyampaikan lagu.

Tidak sekadar persembahan, konsert itu juga diselang-seli dengan video komentar daripada orang dalam industri dan kenalan rapat Butterfingers.

Emmett mewakili kumpulannya meluahkan rasa teruja mereka kerana diberi peluang beraksi di depan ribuan peminat.

“Terima kasih kerana sokongan yang tidak pernah henti daripada kalian,” katanya.

Sedang semua penonton bersorak, seluruh stadium dikejutkan berita mengenai Kadak, selaku bassis Butterfingers yang diserang sesak nafas.

Loque selaku pemain gitar utama menenangkan penonton dan berkongsi berita itu.

“Saya nak maklumkan, Kadak diserang sesak nafas dan kita terpaksa hentikan persembahan buat seketika.

“Kadak tak dapat teruskan bersama kami, tapi persembahan tetap akan diteruskan,” katanya.

Insiden itu bagaimanapun tidak menjejaskan momentum persembahan yang disambung kira-kira 15 minit kemudian.

Tentunya, Konsert Ulangtahun ke-20 Butterfingers - Transcendence mencipta satu memori hebat buat Butterfingers dan seluruh peminat setia mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 5:10 AM
Skip this ad x