KUMPULAN BIGBANG (dari kiri) Daesung, G-Dragon, Seungri, Taeyang dan T.O.P.
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my

BERITA tiga anggota BIGBANG iaitu G-Dragon, Taeyang dan Daesung menamatkan khidmat ketenteraan semestinya paling ditunggu-tunggu peminat tegar mereka.

Selepas dua tahun menyepi daripada dunia hiburan, peminat tidak sabar melihat mereka bergabung kembali.

Saat yang dinanti-nantikan akhirnya kan tiba apabila mereka bakal meninggalkan kem tentera dan kembali menjalani kehidupan sebagai orang awam.

Tentu sekali peminat tidak mahu ketinggalan meraikannya dan pasti berhajat menyambut mereka di luar kem tentera.

Bagaimanapun, hajat itu mungkin terpaksa dilupakan apabila agensi BIGBANG iaitu YG Entertainment memaklumkan supaya peminat tidak melawat mereka sebaik keluar dari kem.

Bukan tidak mengalu-alukan kehadiran peminat, tetapi agensi itu memikirkan ia keputusan terbaik untuk semua pihak.

“Ini adalah notis berhubung G-Dragon, Taeyang, dan Daesung yang menamatkan khidmat ketenteraan mereka pada bulan ini dan bulan depan.

“Kem tentera mereka ditempatkan berada di sempadan lokasi yang dikhuatiri menerima kesan daripada virus African Swine Fever (ASF). Untuk mengelakkan penyebaran virus itu, sistem kuarantin diketatkan dan pelawat tidak digalakkan datang,” kata kenyataan daripada YG Entertainment.

Agensi berkenaan menegaskan keputusan itu dipertimbangkan selepas mengambil kira banyak aspek. Paling utama tentunya kebimbangan mengenai penyebaran virus itu mungkin boleh menjangkiti pelawat.

Mereka juga mematuhi saranan daripada pihak berkuasa supaya tidak menggalakkan mana-mana peminat mendekati lokasi terbabit.

“Pihak berkaitan juga sudah mengeluarkan arahan untuk semua berhati-hati. Jadi, kami merayu peminat tidak melawat mereka untuk mengelak daripada dijangkiti virus berkenaan selain isu keselamatan.

“Kami berterima kasih kepada kelab peminat V.I.P yang menunggu dengan penuh kesabaran sehingga G-Dragon, Taeyang, dan Daesung tamat perkhidmatan. Apapun, sekali lagi kami harap peminat elak daripada datang melawat,” kata pihak YG.

Terdahulu, karier BIGBANG terpaksa dihentikan seketika berikutan empat anggotanya perlu menjalani khidmat ketenteraan hampir serentak. T.O.P memulakan khidmatnya terlebih dulu sebelum diikuti tiga anggota lain.

G-Dragon memulakan khidmatnya pada Februari tahun lalu, diikuti Taeyang dan Daesung pada bulan seterusnya. G-Dragon dijadualkan keluar pada Sabtu ini manakala Taeyang dan Daesung bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 5:40 AM