ANAK Perjanjian Syaitan akan ditambah kepada 100 panggung di seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura.
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


Berikutan sambutan hangat daripada penonton, tayangan filem seram berjudul Anak Perjanjian Syaitan akan ditambah kepada 100 panggung di seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura.

Penerbit Screen Studios Sdn Bhd, Saifulhaq Anani berkata, ia pencapaian membanggakan buat dirinya yang baru berkecimpung dalam dunia perfileman tanah air.

“Asalnya 80 panggung dan apabila ditambah menjadi 100 pawagam, bagi saya ia satu perkembangan yang sangat positif. Saya yakin Anak Perjanjian Syaitan akan memberikan kepuasan kepada penonton.

“Saya difahamkan penambahan jumlah panggung adalah atas permintaan pihak pawagam sendiri berdasarkan maklum balas positif penonton yang sudah menonton karya ini di majlis tayangan perdananya,” kata Saifulhaq.

Menurut Saifulhaq lagi, pihaknya kini sedang berusaha membawa filem berkenaan ke Indonesia.

“Kami sudah menghantar filem ini kepada pihak pawagam di sana dan sedang menunggu maklum balas mereka,” katanya.

Anak Perjanjian Syaitan terbitan akan mula menemui penonton bermula esok

Filem arahan Helmi Yusof itu dibintangi Nadzmi Adhwa, Chacha Maembong, Jasmin Hamid, Azlan Komeng dan Sahronizam Noor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 7:27 PM