RAFFI AHMAD
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


PELAKON popular Indonesia, Raffi Ahmad mengumumkan untuk berehat seketika selepas hampir dua dekad berkecimpung dalam dunia hiburan. Raffi berkata, keputusan terbabit dibuat bagi meluangkan lebih masa bersama keluarga terutama isteri, Nagita Slavina dan anak lelakinya, Rafathar. “Bukan ucap selamat tinggal tetapi istirahat sejenak. Alhamdulillah, sudah 20 tahun dalam dunia hiburan Indonesia. Banyak yang percaya kepada saya, Gigi (panggilan isteri) dan Rafathar.”

“Banyak yang saya lalui dalam kehidupan dan juga kerjaya. Sepanjang hidup saya diisi kerja, kerja, kerja sampai semuanya banyak yang ketinggalan. Termasuk keluarga,” tulisnya di akaun Instagram.

Menurut Raffi, meskipun keputusan yang diambil itu bukan mudah, apa yang lebih penting bangi adalah membahagiakan keluarganya.

“Keputusan ini amat berat. Selepas membuat pertimbangan dalam tempoh yang panjang, saya memutuskan untuk beristirahat sejenak daripada kegiatan saya di sini.

“Saya mahu berubat, bercuti dan melakukan perkara yang membuatkan keluarga saya bahagia,” katanya.

Terdahulu, Raffi dikejutkan dengan insiden kereta mewah Lamborghini Aventador hitam yang tiba-tiba terbakar di Bogor, Indonesia pada Sabtu lalu.

Difahamkan ketika kejadian Raffi dalam perjalanan menuju ke sebuah majlis namun kereta mewah bernilai RM5.6 juta itu tiba-tiba berasap kerana terlalu panas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 7:47 PM