SYAFIQ Kyle. FOTO: Rohanis Shukri
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


“TAHUN pertama berlakon saya kena marah dengan kak Ogy,” kata Syafiq Kyle mengenai pengalamannya berlakon dengan seniwati terkenal Fauziah Ahmad Daud.

Menurut Syafiq, ketika itu mereka digandingkan dalam drama raya dan tanpa sengaja dia menguap dalam sebuah babak.

“Ini menimbulkan kemarahan kak Ogy dan dia minta saya buat betul-betul serta serius.

“Sebagai orang baru, saya akur dan terima tegurannya dengan positif,” katanya.

Pemilik nama sebenar Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, 27, itu mengakui kejadian terbabit mengajarnya untuk membuat persediaan secukupnya jika bergandingan lagi dengan Ogy termasuk dalam filem Pusaka yang akan menemui penonton pada 31 Oktober ini.

“Saya sudah tahu apa yang dia ada dan apa yang dimahukan di lokasi penggambaran. Awal-awal lagi saya sudah buat persediaan.

“Mereka yang tiada pengalaman bekerja dengan kak Ogy mungkin tak buat persediaan dan akan terkejut apabila kena tegur.

“Dalam Pusaka, kak Ogy ada tegur lakonan seorang pelakon kerana persembahan yang diberikan tak berapa kena dengan babak yang dilakonkan,” katanya.

Syafiq yang mencetuskan fenomena menerusi watak Ustaz Adam dalam drama rantaian Nur berkata, apa yang dilakukan Ogy tidak salah kerana ia atas kapasitinya sebagai pelakon berpengalaman.

“Saya pasti pengarah juga akan tegur kesilapan pelakon itu. Kak Ogy pun seorang pengarah dan dia tentu akan tegur apabila ada yang tidak kena.

“Apa yang saya nampak, setiap pelakon kena buat persediaan rapi setiap kali masuk set.

“Tambah lagi berdepan dengan pelakon tersohor, kenalah sentiasa buat kerja rumah,” katanya.

Filem arahan Razaisyam Rashid terbitan Astro Shaw dengan kerjasama Director's Think Tank itu menyaksikan Syafiq membawakan watak Inspektor Polis bernama Nuar.

Selain Syafiq dan Ogy, pelakon lain yang turut membintangi karya seram itu ialah Faizal Hussein, Mimi Lana, Hafidz Roshdi, Aleza Shadan dan Sweet Qismina.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 6:48 PM