NATASHA reda dengan kehilangan dua kehamilan itu. FOTO: Eizairi Shamsudin
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


PELAKON Natasha Hudson, 37, mendedahkan pernah dua kali keguguran dalam tempoh sembilan bulan berkahwin sebelum ini.

Menurut pelakon yang menempa nama menerusi filem Chermin itu, dia sedih dan kecewa dengan kehilangan besar itu dalam perkahwinan keempatnya.

“Hanya sedikit kebahagiaan yang dikecapi sepanjang berkahwin, selebihnya penuh dengan penderitaan.

“Sebenarnya, pada hari pertama perkahwinan lagi rumah tangga kami sudah mula bermasalah.

“Justeru, saya reda dengan kehilangan dua kehamilan itu kerana percaya dengan perancangan dan ketentuan Allah SWT,” katanya kepada Harian Metro.

Natasha berkata demikian ketika mengulas berita perceraiannya dengan ahli perniagaan Noor Nashriq Sekanor, baru-baru ini.

Pelakon itu berkahwin dengan ahli perniagaan terbabit pada 7 Disember tahun lalu tetapi bercerai talak satu selepas sembilan bulan berkahwin. Mengulas penerimaan keluarga pula kata Natasha, tiga anaknya turut menderita dalam perkahwinan kali keempatnya yang bermasalah itu.

Hasil dua perkahwinan terdahulu, Natasha memiliki tiga anak iaitu Neesa Helena, Naeema Kalila dan Faatimah.

“Bila saya tidak bahagia, tiga anak juga turut menderita.

“Justeru, anak-anak dan ahli keluarga sangat bersyukur akhirnya saya dapat keluar daripada kemelut rumah tangga,” katanya.

Menurut Natasha lagi, dia terpaksa berjauhan dengan tiga anaknya itu sepanjang berkahwin kerana mengikut bekas suami menetap di Kelantan.

“Saya hanya dapat bertemu tiga anak sebulan sekali. Pastinya ia tidak cukup kerana anak-anak sangat rapat dan memerlukan kasih sayang saya sebagai ibu mereka,” katanya.

Bagaimanapun kata Natasha, dia kini dia sudah memulakan hidup baru bersama anak-anaknya.

“Sebelum ini bekas suami tidak membenarkan saya berlakon.

“Kini, selepas kembali solo, sampai masanya saya tumpukan perhatian terhadap karier seni, perniagaan dan keluarga,” katanya.

Menyingkap tabir hidupnya, sebelum berkahwin dengan Noor Nashriq, Natasha pernah berkahwin dengan Mohd Faiz Mohd Raih pada 2006 tetapi hanya bertahan selama empat bulan.

Selepas bercerai dengan Mohd Faiz, Natasha berkahwin dengan Datuk Shahrin Zahari pada Julai 2007 dan bertahan selama dua tahun serta dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Neesa Helena.

Menyusul selepas itu, Natasha berkahwin dengan Carleed Khaza atau Khalid Kamal pada 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan, Naeema Khalila dan Faatimah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 6:31 PM