HIDAYU (tengah) diapit Nurul Hanis (kiri) dan Nur Aqidah.
Oleh Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


SELEPAS tiga bulan bersiaran dengan menampilkan 17 peserta, program realiti Pendakwah Muslimah (PM) musim kelima terbitan TV Alhijrah sampai ke kemuncak apabila enam finalis berentap merebut gelaran juara.

Pentas akhir yang berlangsung kelmarin menobatkan pendakwah bebas, Nur Hidayu Mohd Kamil, 27, selaku juara, sekali gus menewaskan lima peserta lain.

Hidayu yang juga ibu kepada tiga anak lelaki berusia enam, tiga dan setahun mengakui semua finalis hebat dan berpotensi muncul juara.

“Sejujurnya, kami berlatih bersama. Apabila sahabat berlatih, saya komen. Begitu juga sebaliknya. Macam fakta yang saya lontarkan, ada yang tolong buatkan dan begitulah proses kami. Maka semua ada potensi dan hebat.

“Saya yakin semua yang berada di pentas akhir ini ada peluang cerah. Ia memang betul. Paling tidak sangka, segmen duet. Ada lagi yang lebih hebat sebenarnya. Memang tak terkata.

"Cuma, kita tak tahu penilaian juri macam mana. Apa-apa pun orang kata ini adalah rezeki,” katanya.

Kemenangan Hidayu itu melayakkannya membawa pulang RM5,000 sumbangan Lembaga Zakat Selagor (LZS), RM10,000 sumbangan Manja Kaseh Arjuna Kaseh selaku hadiah misteri, trofi tajaan MBI Selangor, pakej umrah bernilai RM7,000 dan kad tauliah mengajar daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Apabila diumumkan juara, perkara pertama yang terlintas di fikiran ialah mak ayah saya dan mentua. Saya nak kongsi hadiah kemenangan ini dengan mereka. Yang lain, tak tahu lagi,” katanya.

Hidayu yang juga bekas pemenang tempat ketiga program Da'i 2015 di TV3 akan terus berdakwah menegakkan syiar Islam.

“Kami di bawah Jais diberikan kad tauliah, akan teruskan berdakwah. Pastilah apabila ada kad ini, saya tak boleh sia-siakan.

“Bukan saja atas pentas ini, tetapi sebenarnya pentas lebih besar sedang menunggu di luar.

“Saya juga sudah lima tahun di pentas dakwah sebenar sebagai pendakwah bebas. Sebelum ini dalam program lain dan kali ini saya mencuba di sini pula. Saya mencuba lagi kerana yakin Jais memberikan modul yang hebat. Jadi, saya kena cuba.

“Jika ada undangan muncul di TV, saya sudah bersedia. Apa yang penting pengalaman. Bagaimanapun, saya masih baharu dan belajar. Setiap komen juri, saya ambil dan terima,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris berkata, program PM akan diteruskan berdasarkan sambutan diberikan.


HIDAYU akui semua peserta hebat, ada potensi.

“Program ini kami bina bersama Jais. Jadi, kita pun kena melihat perancangan mereka juga. Katanya nak ubah sedikit format. Mungkin peserta dalam kalangan pelajar sekolah.

“Apabila kita melihat konsep sebegini mendapat tempat dan memberikan kesan kepada penonton yang datang, kita pun berasakan program ini boleh dibuat setiap minggu khas untuk TV Alhijrah.

“Mungkin kita gabungkan elemen teater, persembahan dan dakwah. Lebih kepada teater dakwah,” katanya.

Pada persaingan akhir itu, tempat kedua menjadi milik Nurul Hanis Nadiah Ngaliman, 33, yang menerima RM4,000 sumbangan LZS, trofi dan kad tauliah mengajar.

Tempat ketiga, Nur Aqidah Mawardi, 29, menerima RM3,000 sumbangan LZS, trofi dan kad tauliah mengajar.

Berada di posisi keempat, Siti Annisha Anuar, 26, kelima, Wan Hazila Wan Azeri, 27, dan keenam, Nur Asyiqin Aziz, 25. Selaku penerima sagu hati, masing-masing mendapat RM1,000 sumbangan LZS, trofi dah kad tauliah mengajar.

Anugerah Duet Terbaik pula dinobatkan kepada Nur Hidayu dan Siti Annisha masing-masing mendapat RM1,000 sumbangan LZS.

Format penjurian menggunakan 100 peratus juri profesional yang terdiri daripada Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh dan Sharifah Khasif Fadzillah Syed Badiuzzaman.

Semua finalis mendapat bimbingan daripada mentor luar seperti Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad Daud, Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki dan Dr Rosmawati Mohamad Rasit.

Program yang bersiaran langsung dari Auditorium Brainy Bunch, Cyberjaya itu menampilkan gandingan pengacara Amin Idris dan Farah Diana Anuar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 5:00 AM