ZUL Huzaimy juara program All Stars Buka Panggung 2019.
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


"KALAU dapat tempat kedua atau ketiga pun, saya tetap akan hantar emak mengerjakan haji sebab sudah bernazar," kata pelakon dan pengarah Zul Huzaimy mengulas impiannya yang mahu menghantar ibunya ke Makkah sekiranya bergelar juara program All Stars Buka Panggung 2019.

Menerusi pertandingan yang berlangsung di Royal Theatre Shah Alam, Jumaat lalu, Zul, 40, menewaskan tiga lagi pencabar iaitu pelakon Noorkhiriah, Datuk Aaron Aziz dan Rita Rudaini sekali gus berjaya memenangi hadiah wang tunai bernilai RM50,000 dan sebuah trofi.

Zul berkata, melangkah ke pentas final juga satu kejayaan buat diri nya dan dia tetap akan menghantar ibunya ke Makkah sekiranya situasi berlaku sebaliknya.

"Kebetulan saya jadi juara, alhamdulillah memang pastilah saya akan hantar emak buat haji. Mak pun turut hadir menonton dan saya sudah kata kepadanya agar buat persediaan untuk ke Makkah.

"Namun, mak ingatkan saya agar bayar zakat terlebih dahulu sebelum buat benda lain. Saya akan patuhi pesanan itu.

"Wang kemenangan pun belum dapat. Apabila ada di tangan bolehlah saya mula merancang dari sekarang," katanya.

Terdahulu, Zul pernah berkata nazar itu dibuat untuk membalas jasa ibu yang menjaga dia serta 11 adik-beradiknya.

Selain mahu menghantar ibunya ke Makkah, dia juga bercadang mengadakan kenduri untuk meraikan peminatnya.

"Ia akan dibuat dalam masa terdekat tetapi kena tengok juga jadual lakonan saya. Aktiviti saya agak padat sekarang. Konsep kenduri yang difikirkan bukan mewah tetapi sederhana.

"Saya akan cari mana-mana dewan yang sesuai di Kuala Lumpur dan akan buat kenduri cara kampung. Konsepnya gotong-royong dan saya nak tumbangkan seekor dua lembu.

"Saya nak semua yang hadir nanti makan sampai puas," katanya.

Berkenaan tenaga kerja untuk majlis ini, Zul yang juga presiden kelab motosikal Spark Malaysia bercadang menggunakan khidmat ahlinya dalam penyediaan makanan.

"Ahli-ahli saya terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk bilal, penjual lembu dan pelbagai lagi. Jadi, biarlah mereka dapat bahagian masing-masing nanti.

"Apapun, jangan salah anggap yang kenduri itu untuk ahli Spark sahaja kerana saya sebenarnya ajak semua peminat. Siapa nak datang, datanglah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 6:01 PM