PEMILIHAN Zoe untuk watak Catwoman direstui ramai.
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my

WATAK adiwira ikonik Catwoman sangat besar pengaruhnya hingga ke hari ini.

Malah, bintang yang membawakan watak itu juga bukan calang-calang berikutan proses pemilihannya sangat teliti.

Pemilihan aktres Zoe Kravitz untuk menggalas karakter itu dalam filem Batman ternyata disambut baik banyak pihak.

Dia yang juga anak legenda rock Lenny Kravitz bakal bergandingan dengan Robert Pattinson.

Aktres itu juga nampaknya sangat teruja dengan kepercayaan yang diberikan.

Bahkan, dia berkongsi kegembiraannya di Instagram apabila membalas komen gambar yang dimuat naik pelakon Jason Momoa.

“Suka apabila Aquaman dan Catwoman menghabiskan percutian bersama-sama bermula sekarang,” kata pelakon yang terkenal dengan siri Big Little Lies dan filem Fantastic Beast itu.

Halle Barry, Michelle Pfeiffer dan Anne Hathaway yang pernah melakonkan karakter itu turut menyifatkan pemilihan berkenaan sangat tepat.

Halle, 53, mengucapkan tahniah kepada Zoe menerusi Instagram dan mengalu-alukan pembabitannya dalam keluarga Catwoman.

“Ucapan khas buat Catwoman terbaharu kita yang paling anggun dan sangat gagah, Zoe Isabella Kravitz.

“Teruslah bersinar ratu dan selamat menyertai keluarga Catwoman,” tulisnya.

Halle menjayakan karakter berkenaan dalam filem Catwoman yang diterbitkan pada 2004 dan mempamerkan lakonan mantap.

Bagaimanapun, filem itu menerima rating sembilan peratus daripada pengkritik filem Rotten Tomatoes.

Berbeza dengan Michelle, 61, yang menjayakan karakter itu menerusi Batman Returns pada 1992 bersama Michael Keaton, Rotten Tomatoes memberikan 79 peratus untuknya.

Mengulas mengenai pemilihan Zoe, aktres legenda berkenaan memberikan kata-kata semangat selain berkongsi gambaran berada di set penggambaran nanti.

“Saya sangat teruja. Cuma pastikan, rekaan kostum baharu itu harus dibuat dengan mengambil kira aspek senang untuk ke tandas.

“Nampak remeh tetapi sebenarnya ia sangat penting.

“Sewaktu melakonkan watak itu, saya kena pakai kostum getah selama 12 hingga 14 jam.

“Bayangkan saya hanya ke tandas sekali saja sehari sepanjang enam bulan penggambaran,” katanya.

Sementara itu, Anne yang memegang watak Catwoman atau Selina dalam The Dark Knight Rises pada 2012 menzahirkan rasa gembira dengan pemilihan Zoe.

“Tahniah Zoe kerana dapat watak hebat dambaan ramai ini. Nikmati perjalanan indah itu,” katanya.

Catwoman atau nama sebenarnya Selina Kyle ialah karakter yang dicipta Bill Finger dan Bob Kane dalam siri komik Batman terbitan DC Comics.

Kali pertama karakter itu diangkat ke layar perak pada 1940.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 5:30 AM