SELEBRITI dunia tidak terkecuali hadapi buli siber.
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


GEJALA buli siber ternyata sangat membimbangkan. Baik figura awam, pemimpin negara, selebriti, hinggalah orang biasa, kata-kata nista yang diterima daripada warganet tidak bertanggungjawab begitu keterlaluan.

Berbanding buli secara fizikal yang sudah cukup terkutuk, padah buli siber jauh lebih bahaya dan mampu membawa maut.

Medium Internet yang sepatutnya dimanfaatkan untuk memudahkan kesejahteraan sejagat sebaliknya bertukar medan serangan peribadi.

Sampai bila gejala ini berterusan dan perlukah kita hanya berdiam diri melihat kadar bunuh diri mangsa buli siber meningkat? Gara-gara buli siber, banyak kemungkinan yang boleh berlaku seperti kemurungan, gangguan emosi, selain seseorang boleh mencabut nyawa sendiri.

Tidak perlu bukti nyata lagi, kematian beberapa selebriti antarabangsa beberapa tahun kebelakangan ini perlu diambil serius. Tidak kisah apa juga penyebab kematian mereka, kemalangan sebegitu patut dibendung.

Kehidupan selebriti juga seperti orang lain yang perlu berhadapan cabaran tersendiri. Bagaimanapun, cabaran mereka lebih berat apabila tidak dapat mengawal kata-kata nista keterlaluan warganet sehingga memberi kesan buruk daripada pelbagai aspek.

Berikutan itu, ramai yang gagal menahan emosi lantaran kata-kata dilemparkan cukup berbisa dan tajam. Sehinggakan, mereka tidak mampu lagi berdepan cabaran itu dan melakukan tindakan di luar dugaan.

Berikut 10 selebriti mangsa buli siber yang sangat teruk.


SULLI

Sulli

Kematian penyanyi berusia 25 tahun ini sememangnya mengejutkan dunia. Siapa sangka di sebalik keceriaannya di kaca TV, anggota f(x) dari Korea Selatan ini menanggung ketegangan emosi yang sangat sarat.

Mungkin tindakannya boleh dihidu ramai apalagi tidak lama selepas pemergiannya, dia sempat berkongsi mengenai isu buli siber kepada pengikutnya. Bagaimanapun, tiada tanda dia akan bertindak di luar jangkaan.

Sulli adalah antara selebriti dari negara itu yang tidak lepas daripada kecaman warganet. Siapa saja berada di posisinya pasti tidak dapat menerima kata-kata nista yang melampau daripada warganet.

Kesudahannya, dia ditemui meninggal dunia di kediamannya dan turut dikaitkan penyebabnya adalah bunuh diri. Paling tidak boleh diterima akal adalah warganet masih bercakap buruk mengenai mendiang meskipun rata-rata meratapi pemergiannya.

Sekali gus, pemergiannya itu menjadi perhatian serius banyak pihak di Korea Selatan memandangkan isu buli siber sudah di luar kawalan. Gerakan Sulli Act dicadangkan badan undang-undang di sana untuk membanteras perkara sama menimpa selebriti lain.


JONGHYUN

Jonghyun

Penyanyi juga anggota SHINee ini juga paling tidak disangka kematiannya pada 2017. Mendiang berdepan masa sukar sehingga memakan emosi dalamannya dan membawa kepada mencabut nyawa sendiri.

Meskipun dikaitkan kemurungan, ternyata penyanyi ini bergelut rasa keyakinan diri sama ada dia bagus atau tidak. Secara tidak langsung, permasalahan dihadapinya mungkin berpunca daripada buli siber.

Dia sendiri tidak pernah berbicara mengenai masalah yang melanda dalaman dirinya. Hakikatnya, sepanjang karier dia adalah antara selebriti yang sentiasa tampil ceria dan disukai ramai termasuk rakan selebriti lain.

Bagaimanapun, penyakit mental yang dialaminya sudah tidak dapat diselamatkan apabila dia sendiri rasa dirinya rapuh. Jonghyun mengakui perkara itu dalam sebuah nota ditinggalkan selepas dia ditemui meninggal.

Menurutnya, kemurungan yang dihadapi semakin menguasai diri dan dia sudah tidak mampu bertarung dengannya lagi. Dia turut berharap dirinya sudah melakukan yang terbaik dalam hidup di sebalik pelbagai kesukaran dilaluinya.


JEONG Da Bin

Jeong Da Bin

Pengakhiran hidup aktres dari Korea Selatan ini sememangnya sangat menyedihkan. Jeong Da Bin ditemui menggantung dirinya dalam bilik mandi di rumah teman lelakinya pada 2007 sewaktu dia berusia 26 tahun.

Pelbagai spekulasi tercetus mengenai kematiannya di mana dia dikatakan berdepan tekanan hidup yang sukar dikawal lagi.

Paling menjadi perbualan adalah dia didakwa membunuh diri disebabkan tidak dapat menerima kariernya menjunam. Bukan itu saja, dia turut menerima tempias komen daripada warganet ketika itu.

Dia dikatakan menerima kata-kata nista daripada ramai yang mengecam penampilan fizikalnya di internet. Disebabkan itu, tekanan hidup aktres terbabit menjadi lebih teruk menguatkan lagi spekulasi mengenai punca kematiannya.

Sehari sebelum dia menggantung dirinya, Jeong Da Bin ada berkongsi mengenai dirinya semakin kehilangan identiti menerusi blognya. Ramai yang percaya aktres itu sememangnya berhadapan kemurungan.


DEMI Lovato

Demi Lovato

Pada sekitar 2011 dan 2012, Demi Lovato menyuarakan secara lantang mengenai isu buli siber yang sangat membuatnya tertekan. Dia tampil berbuat demikian disebabkan pernah menjadi mangsa buli sewaktu zaman remajanya.

Penyanyi Stone Cold itu menyelar tindakan individu yang suka membuli orang lain dengan kata-kata kesat. Menurutnya, perbuatan sebegitu lebih terkutuk daripada serangan buli secara fizikal.

Demi tidak menafikan ramai yang melakukan buli siber disebabkan mereka terikut-ikut dengan orang lain. Bagaimanapun, mereka cuma berani melakukan serangan itu di sebalik komputer namun kesannya sangat teruk.

Penyanyi terbabit juga jelas berdepan teruk dengan buli siber sehingga memberi tekanan emosi kepadanya. Disebabkan hal itu, Demi bahkan mengambil tindakan membahayakan apabila ditemui tidak sedarkan diri disebabkan memakan bahan berbahaya.

Penyanyi itu juga beberapa kali dimasukkan di pusat pemulihan gara-gara mengalami tekanan emosi. Dia turut berehat daripada mengambil tahu mengenai kariernya demi memulihkan semangatnya semula.


SELENA Gomez

Selena Gomez

Sekalipun berada di ambang kemasyhuran, penyanyi ini antara selebriti yang paling teruk terkena serangan buli siber. Mana tidaknya, pengikutnya di media sosial pun mencecah ratusan juta.

Lantas, dia tidak terlepas daripada segala serangan baik secara mental mahupun fizikal. Paling teruk, serangan itu berlangsung bertahun-tahun dan sehingga kini masih ada warganet yang bertindak sedemikian.

Antara serangan terbesar pernah diterimanya adalah sewaktu berat badannya naik tidak lama dulu. Bermula daripada senda gurau, warganet bertindak melampau apabila menghina bentuk badannya dengan kata-kata yang melampau.

Penyanyi itu boleh saja mengabaikan komen berkenaan namun tahap kecaman yang diterimanya sukar untuk didiamkan. Selena mengakui tertekan dan terluka dengan setiap kecaman yang ternyata menghiris emosinya.

Namun begitu, dia berjaya menepis perasaan itu dengan terus menyalurkan emosi positif menerusi muziknya. Usahanya berhasil apabila ramai menerima karyanya dengan begitu positif dan menyemarakkan semula semangatnya.


ZAYN Malik

Zayn Malik

Meskipun pernah menganggotai boyband paling berpengaruh dalam sejarah, One Direction, penyanyi Zayn Malik pernah menjadi mangsa buli siber dengan sangat teruk. Serangan berunsur menyentuh mengenai perkauman itu ternyata memberi impak besar.

Zayn yang dilahirkan sebagai Islam dan berbangsa Pakistan nampaknya tidak diterima baik terutama di Britain. Hanya disebabkan bangsanya, ramai cuba menjatuhkannya dan menggelar dia dengan pelbagai nama.

Paling diingatinya adalah sewaktu dia digelar sebagai pengganas. Dia sendiri tertanya bagaimana dia boleh dinilai sebegitu rupa dan tidak dapat menghadam mengapa orang sanggup berkata sedemikian.

Dia mendakwa cuba sedaya upaya untuk mengabaikan setiap komen itu namun tidak dapat menghindarinya. Apalagi, komen yang diberikan mula mengaitkan ahli keluarganya sehingga mereka turut diserang.

Lebih membahayakan, dia juga berada tidak selamat berada di jalanan apabila ada yang menyerangnya secara depan-depan. Dia mula berasakan ia masalah besar apabila ibunya sendiri sudah mula bercakap mengenai serangan itu.


ED Sheeran

Ed Sheeran

Penyanyi ini mengambil keputusan untuk padan akaun Twitter disebabkan sudah tidak tahan dengan kekejaman komen warganet di media sosial itu. Dia mengakui tidak mampu lagi membaca setiap komen diterimanya.

Tindakan itu dibuatnya selepas albumnya, terjual lapan juta unit dalam tempoh tiga bulan dilancarkan. Bagaimanapun, dia mengambil keputusan terbabit demi mencari ketenangan dirinya sendiri.

Menurutnya, komen yang diterimanya di Twitter semuanya biadab. Sebuah komen saja mampu menghancurkan keceriaan harinya dan ramai berusaha untuk membenci dirinya.

Dia turut mengaitkan peminat Lady Gaga adalah antara yang paling ramai membulinya di Twitter. Hal itu tercetus gara-gara dia mengatakan sesuatu yang mereka ingatkan menjurus kepada Lady Gaga.

Namun begitu, Lady Gaga sendiri mempertahankan Ed disebabkan serangan itu dan mengutuk tindakan buli siber. Penyanyi berkenaan juga mengambil pendekatan sama untuk tidak terlalu mengambil tahu mengenai Instagramnya dan fokus kepada berkarya.


EMMA Watson

Emma Watson

Mengecap kemasyhuran sejak kanak-kanak, aktres Emma Watson lantas menjadi ikutan di seluruh dunia. Dia sendiri juga memiliki pesona yang sukar disangkal namun daripada situlah kebencian peminat juga terbit.

Sejak menjayakan filem fenomena Harry Potter, popularitinya mendadak seiring dengan kebencian sesetengah warganet. Semestinya, pada usia semuda itu dia tidak mampu berdepan dengan kecaman di internet.

Bahkan, Emma sendiri mengakui dia tidak mampu lagi mengendalikan emosinya dan cuma mahu lupakan kesedihan itu. Sebaik mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di Universiti Brown, dia berasakan itu peluangnya untuk menghindar diri.

Bagaimanapun, sewaktu di kolej, dia masih tidak terlepas daripada menjadi mangsa buli. Bukan saja diseksa dengan pelbagai cara, dia turut menjadi mangsa buli di kolej berkenaan.

Tidak mahu menanggung beban, dia kemudian memutuskan untuk bermula semula dan menukar kolej. Emma mendaftarkan diri di Universiti Columbia dan mengecap kejayaan dalam pengajiannya.


LORDE

Lorde

Populariti yang dikecap penyanyi berasal dari New Zealand ini sememangnya sangat luar biasa. Bukan saja albumnya mencipta fenomena di seluruh dunia, bahkan dia turut cemerlang di Anugerah Grammy.

Bagaimanapun, kegembiraannya tidak lama bertahan apabila kehidupan peribadinya mula menjadi tumpuan. Daripada situlah dia menjadi mangsa buli siber dengan pelbagai komen jahat mula membanjiri ruang komen media sosialnya.

Paling teruk apabila hubungannya dengan teman lelaki berketurunan Asia menjadi perhatian. Hubungan berlainan bangsa itu dijadikan ancaman warganet yang tidak setuju dengan hubungan mereka.

Meskipun Lorde berjaya menangani situasi itu dengan baik, dia mengakui sangat terkesan dengan kecaman itu menerusi beberapa temubual. Ternyata setiap yang dilakukannya tetap menimbulkan rasa tidak puas hati warganet.

Terkini, penyanyi itu mengambil pendekatan untuk tidak lagi aktif di media sosial. Dia bahkan memadam hampir semua gambarnya di Instagram dan tidak lagi memuat naik perkembangan terbarunya.


RUBY Rose

Ruby Rose

Sewaktu Ruby Rose menghadiri uji bakat watak Batwoman untuk siri Arrowverse, dia terus menjadi mangsa kecaman warganet. Rata-rata tidak berpuas hati dengan pembabitannya dan kredibilitinya dipersoalkan.

Lebih teruk, warganet mengatakan dia sangat tidak layak dengan karakter itu dan tidak patut dipilih melakonkannya. Bagaimanapun, dia tetap dengan pendirian untuk membuktikan warganet silap.

Bukan sekejap, lama juga Ruby menjadi mangsa buli dan dia akhirnya tampil dengan kenyataan di Twitter mengenai hal itu. Yang pasti, dia mengakui terkesan dengan kecaman itu sehingga mengganggu emosinya.

Dia juga mengambil keputusan untuk menjauh daripada media sosial terutama Twitter selepas serangan itu. Ruby lebih banyak memfokuskan kepada karier meskipun dalam pada itu mengakui hampir kemurungan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 5:30 AM