RABBANI dan penaja selepas sidang media pelancaran Projek Mahligai Kasih.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@hmetro.com.my


KUMPULAN nasyid terkenal, Rabbani meneruskan kerja kebajikan apabila melancarkan Projek Mahligai Kasih di Kompleks Tabung Haji (TH) Kelana Jaya, baru-baru ini.

Anggotanya, Azadan Abd Aziz berkata, projek itu menyaksikan pihaknya bercadang membangunkan tapak pusat tahfiz yang dinamakan Pondok Moden Darussalam Sijangkang di Klang, Selangor.

Katanya, mereka juga menganjurkan Karnival Ummah Bestari yang dijadualkan berlangsung di Tapak Bazarena, Stadium Melawati, Shah Alam pada 15 hingga 17 November depan.

“Malah, melalui projek ini kami turut menganjurkan Majlis Makan Malam Amal bagi mengisi tabung pembangunan di Dewan Belia dan Kebudayaan, Seksyen 7, Shah Alam pada 17 November ini,” katanya.

Menurutnya, karnival ummah dan majlis makan malam mendapat kerjasama pentadbiran pondok terbabit, pihak produksi, penaja dan penyedia lokasi penganjuran.

Katanya, semua aktiviti kebajikan itu mendapat sokongan isteri Menteri Besar Selangor, Datin Masdiana Muhamad.

Menjelas lanjut berhubung pembinaan pondok, Azadan memberitahu ia bermatlamat membangunkan syiar Islam.


RABBANI bersama penaja pentadbiran pusat tahfiz.

“Bagi tujuan ini, kami berusaha mendapatkan 1.2 hektar tanah bernilai RM1.2 juta bagi membangunkan pondok moden di Klang. Oleh itu, sebuah badan wakaf akan ditubuhkan bagi sesiapa yang mahu memberikan sumbangan atau infaq,” katanya.

Selain individu perseorangan, pihak korporat amat dialu-alukan untuk menderma dalam memastikan pendidikan agama dalam kalangan pelajar tahfiz dapat diteruskan.

“Kami tidak mahu menjadi hanya sebuah kumpulan nasyid semata-mata, sebaliknya memperjuangkan aktiviti kebajikan untuk perkembangan Islam,” katanya.

Jauh di sudut hati, Azadan mahu usaha itu melahirkan generasi celik al-Quran yang mengikuti sunah Rasulullah SAW.

“Jika kita tidak membantu, siapa lagi yang akan memperjuangkan agama suci ini melainkan umatnya,” katanya.

Menurutnya, dalam masa terdekat penceramah bebas dari Indonesia, Ustaz Abdul Somad akan menjayakan beberapa program khas bersama kepemimpinan pondok selain menjayakan majlis makan malam amal bersama Rabbani, Iwan Shahman, Daqmie dan Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood.

“Kami menggunakan medium ini untuk memenuhkan tabung pembangunan dan mengharapkan sokongan peminat Rabbani,” katanya.

Untuk maklumat lanjut boleh melayari Facebook Projek Mahligai Syurga atau Instagram “projekmahligaisyurga’.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 5:00 AM