UNGKU Ismail takkan lepaskan peluang lagi jika ada tawaran untuk berlakon dalam video muzik lagu nyanyian Erra. FOTO Aziah Azmee
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


PELAKON, Ungku Ismail Aziz, 34, menafikan menarik diri daripada membintangi video muzik lagu berjudul Menangkah Cinta nyanyian penyanyi dan pelakon, Erra Fazira.

Menurutnya, jadual penggambaran video muzik itu yang bertindih dengan jadual kerjanya membuatkan dia terpaksa melepaskan peluang itu.

"Tak mungkinlah saya akan tarik diri daripada bekerjasama dengan Erra Fazira. Saya nak sangat berlakon dalam video muzik itu.

“Namun, kerana ada jadual yang bertindih dengan jadual kerja, saya terlepas peluang itu," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia ada berbincang dengan pihak pengurusan Erra mengenai jadual penggambaran.

"Saya ada berbincang dengan mereka kerana ada diberikan dua hari untuk penggambaran video muzik iaitu pada Rabu dan Sabtu. Namun, saya memang tak boleh terbabit pada Rabu.

"Saya pun faham, mereka tentunya sudah ada perancangan yang diletakkan dalam jadual dan tak boleh nak ganggu susunan jadual sudah dibuat itu.

"Tapi, kalau selepas ini ada peluang lagi untuk berlakon dalam video muzik lagu nyanyian Erra, saya takkan lepaskan," katanya.

Ungku Ismail sebelum ini pernah berlakon bersama Erra dan melihat pelakon yang mendapat jolokan Primadona Filem Melayu itu sebagai contoh artis kekal relevan.

"Ada artis yang masuk ke dalam industri dengan pemikiran bahawa zaman kegemilangan itu hanyalah sementara. Kalau saya berfikir sebegitu, baik saya tak payah masuk ke dalam industri.

"Namun, artis seperti Erra membuatkan saya ingin terus bekerja keras kerana dia menjadi contoh antara artis yang mampu mengekalkan namanya supaya relevan di dalam industri," katanya.

Disebabkan Ungku Ismail tidak dapat memberikan komitmen, video muzik Menangkah Cinta menampilkan penyanyi, Shahir Zawawi sebagai pelakon di samping Erra sendiri.

Sehingga kini, video muzik itu sudah ditonton lebih 250,000 tontonan di YouTube sejak dimuat naik seminggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 5:33 PM