SEAN Kingston (tengah) bertemu peminat Malaysia sebelum konsert jelajah Sean Kingston Malaysia Live Tour 2019 esok. FOTO Mustaffa Kamal
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


TERUJA dan tidak sabar untuk menghiburkan peminatnya di sini, penyanyi Amerika-Jamaica, Sean Kingston bakal mengadakan konsert di Pusat Konvensyen Quill di Quill City Mall, Kuala Lumpur, esok.

Konsert yang dijangka bermula pada jam 8.30 malam itu adalah sempena konsert jelajah Sean Kingston Malaysia Live Tour 2019.

Kingston, 29, berkata, dia tidak sabar untuk mengadakan konsert di sini kerana merasakan Malaysia sentiasa dekat di hati.

“Saya tidak sabar untuk bertemu peminat di sini. Saya lihat mereka begitu menghargai setiap lagu yang dihasilkan.

“Rasa gembira kerana terus diberi peluang dan masih ada rezeki untuk terus berada dalam bidang nyanyian,” katanya.

Pada malam konsert berkenaan, beberapa artis tempatan turut diundang menghangatkan suasana antaranya Alif, Sona One, DJ Pennie dan DJ Jvene.

Terdahulu, penyanyi yang popular dengan lagu Beautiful Girl itu pernah berkolaborasi dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi lagu Remember You pada 2011.

Malah Kingston juga pernah berduet dengan Kilafairy menerusi lagu Put The Word In pada tahun 2017.

Bagi yang ingin mendapatkan tiket Sean Kingston Malaysia Live Tour 2019 boleh layari laman web Ticket Charge. Harga tiket bermula dari RM138 sehingga RM1,688.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 5:08 PM