ABON mendapati aspek pergaulan sesama pelakon ada kalanya agak bebas. FOTO Syakirah Azhar
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


PELAWAK senior era 1980-an, Abon menjelaskan dia memang tidak membenarkan anak-anaknya menceburi kerjaya seni.

Abon, 59, bapa empat anak berusia 18 hingga 26 tahun itu berkata, biarlah hanya dia seorang sahaja dikenali masyarakat.

Pemilik nama sebenar Sharizan Ahmad itu memberitahu dia mempunyai alasan tersendiri tidak membenarkan pembabitan anaknya.

"Saya tak benarkan mereka (anak) menceburi kerjaya seni sebab tahu bukan senang untuk bercampur gaul dalam bidang ini.

"Aspek pergaulan ini yang sangat membimbangkan saya kerana mana tahu mereka akan mudah terikut.

"Jadi, cukup saya seorang yang terbabit dalam kerjaya ini dan rasanya ia lebih selesa buat saya," katanya.

Menurut Abon, pemerhatiannya mendapati aspek pergaulan sesama pelakon ada kalanya agak bebas.

"Saya tengok kadang-kadang soal pergaulan ini diambil ringan dengan tanggapan bagaikan satu keluarga.

"Saya tahu di lokasi ada kalanya dapat dilihat pergaulan mesra di antara pelakon lama dan baharu.

"Jadi, situasi sebegini yang membuatkan saya bimbang sekiranya anak akan terikut. Saya sangat takut mereka mudah terikut," katanya.

Abon berkata, pandangan peribadinya itu bukan untuk mengaibkan situasi dalam industri hiburan tetapi berkongsi keadaan sebenar yang dibimbanginya.

"Saya cukup risau jika anak tak boleh nak menghadapi keadaan ini dengan baik yang akhirnya mendorong mereka terikut.

"Apapun, saya tetap menghantar anak mendalami ilmu lakonan dengan mengikuti kursus asas seni lakon di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC)," katanya.

Katanya, pendedahan itu diberikan kepada anaknya supaya mereka dapat merasai pengalaman sebagai pelakon.

"Sekurang-kurangnya, apabila orang bercerita mengenai bidang lakonan mereka akan tahu apa itu konti, kostum, props dan sebagainya.

"Apapun, syukur alhamdulillah kesemua anak saya sudah dihantar mengikuti kursus seni lakon berkenaan," katanya.

Apa yang pasti, dia sangat gembira kerana semua anaknya berjaya dalam pelajaran dan kini masing-masing melanjutkan pengajian ke menara gading.

Abon masih aktif dalam kerjaya seninya dan kini sibuk dengan aktiviti pengacaraan serta pelelong kempen Utamakan Produk Muslim (BMF).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 5:12 PM