KAKA dan Adam bersama anak mereka, Aslan yang lahir pada 11 Oktober lalu. FOTO Instagram Kaka Azraff
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


PENYANYI, Kaka Azraff memilih untuk berpantang selama 28 hari di sebuah pusat khidmat penjagaan mewah bertaraf lima bintang yang terletak di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

Kaka berkata, dia memilih pusat penjagaan itu kerana menawarkan perkhidmatan berpantang untuk membantu wanita yang baru menjalani proses kelahiran serta merawat bayi.

Katanya, atas nasihat suami dan keluarga, dia memilih untuk berpantang di situ kerana mahu memastikan keadaan diri dan anak mendapat penjagaan yang baik.

“Lagipun di sini saya dan anak dijaga dengan rapi selain terdapat aktiviti sihat untuk ibu yang baru melahirkan zuriat.

"Selalunya kita dengar wanita baru melahirkan anak akan berpantang di rumah, kemudian ada penjaga khusus yang datang untuk memantau. Tapi ketika mendengar mengenai pusat penjagaan ini saya teringin untuk rasai sendiri pengalaman ini.

"Alhamdulillah saya seronok dan semuanya berada dalam keadaan yang baik. Malah suami juga boleh tinggal bersama," katanya.

Menurut Kaka yang baru melahirkan bayi lelaki seberat 2.7 kilogram pada 11 Oktober lalu, dia dan suami, Adam Azriff bersepakat memilih nama Aslan Adam untuk putera sulungnya itu.

"Aslan bermaksud bayi lelaki yang baik dan penuh kemurahan hati seperti seorang tokoh Islam.

"Jujur agak lama kami berfikir untuk memberikan nama yang terbaik untuk Aslan dan nama ini pun kami dapat beberapa hari sebelum bersalin,” katanya.

Menurutnya, nama itu dipilih sendiri oleh Adam yang ketika itu sedang memandu dan tiba-tiba terlintas dalam fikirannya.

"Setakat ini Aslan sangat mudah dijaga dan tidak banyak ragam. Dia akan terjaga apabila nak susu malah tidak kuat menangis.

"Saya juga tak sangka proses selepas kelahiran semudah ini. Mungkin saya melalui pelbagai dugaan sepanjang kelahiran apabila selama sembilan bulan muntah setiap hari," katanya.

Kaka atau nama sebenarnya, Nor Atiqa Noor Azraff, 30, dan Adam mendirikan rumah tangga pada 14 Disember tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 3:14 PM