MOHD Safie mahu memiliki sebuah lagu sebagai kenangan buat dua anak selepas meninggal dunia.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohd_helmi@mediaprima.com.my


"SAYA menyanyi bukan untuk mencari wang atau populariti sebaliknya terapi bagi meningkatkan motivasi. Melalui lagu ini, ia akan dijadikan kenangan untuk anak apabila saya sudah tiada," kata penyanyi baharu yang juga orang kurang upaya (OKU), Mohd Safie Ayob, 35.

Katanya, sebelum diterima Harry Khalifah sebagai penyanyi pada tahun lalu, dia adalah seorang kontraktor di Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Menurutnya, kehidupannya berubah pada Jun 2014 apabila menghidap masalah buah pinggang tahap empat menyebabkan mata kirinya buta.

"Kejadian itu berlaku di rumah secara tiba-tiba sebaik kedua-dua paha membengkak dan perut membesar. Pemeriksaan di Hospital Kuala Kubu Bharu mendapati buah pinggang saya rosak menyebabkan perut terpaksa ditebuk (untuk membuang air kencing)," katanya pada temubual bersama Harian Metro di MVM Music, Taman Shamelin Perkasa, Kuala Lumpur, semalam.

Tidak lama kemudian katanya, mata kirinya pula buta dan kini hanya dapat melihat pada kadar 40 peratus menggunakan mata kanan.

"Akibat penyakit itu, saya tidak lagi menjadi kontraktor dan terpaksa menganggur. Saya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM250 sebulan dan pencen ilat RM600 sebulan," katanya yang ditemani Harry.

Menurut Mohd Safie, doktor memberitahu penyakit itu diwarisi daripada arwah ibunya, Rohani Salim yang meninggal dunia pada 2013 ketika berusia 59 tahun.

Dia yang kini menjalani dialisis tiga kali seminggu memberitahu adiknya, Razie, 34, juga berdepan masalah sama sebaik menghidap kencing manis dan masalah buah pinggang, bulan lalu.

"Ia penyakit keturunan dan setakat ini bapa kami, Ayob Hassan, 63, serta adik bongsu sihat. Selepas menghidap penyakit ini, setiap hari saya memikirkan kematian," katanya.

Sehinggalah pada April tahun lalu, Harry yang juga kenalan sekampung bertemunya di sebuah kedai runcit di Kuala Kubu Bharu lalu dia berkongsi masalahnya.

"Saya beritahu Apak (Harry), mahu memiliki sebuah lagu dan ia mungkin menjadi kenangan buat dua anak sekiranya saya meninggal dunia," katanya memiliki masing-masing seorang anak lelaki dan perempuan berusia 12 dan 10 tahun.

Menurutnya, pada Julai 2018 Harry menghasilkan single pertama berjudul Aku Insan Tak Sempurna yang kini menerima hampir 100,000 tontonan di YouTube.

Katanya, dia juga dibawa menjayakan lebih 10 persembahan nyanyian di sekitar Lembah Klang dan mahu menjadikan aktiviti itu untuk menggembirakan diri sendiri.

"Saya tidak mengejar wang atau populariti tetapi nyanyian adalah semangat untuk memulihkan diri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 3:11 PM