TOMOK (kiri) gesa Naqiu (kanan) buktikan kemampuan sebenar dalam Gegar Vaganza musim keenam. FOTO Arkib NSTP
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohd_helmi@mediaprima.com.my


PENYANYI, Shah Indrawan Ismail, 35, atau Tomok menggesa rakannya, Naqiu, 33, membuktikan keupayaan sebenar dalam Gegar Vaganza (GV) musim keenam biarpun suara mereka dahulu dikatakan 'sengau'.

Tomok yang juga juara One In A Million (OIAM) musim ketiga berkata, fenomena 'rambut belah tengah' di awal kemunculan New Boyz dan Boboy sudah berlalu.

"Kami meniti kematangan dan pengalaman memiliki suara sebegitu (sengau) kerana ketika itu kami belum matang.

"Bagi fenomena rambut belah tengah pada 1999, kami antara terawal mengikuti penampilan ahli kumpulan Backstreet Boys dan N Sync," katanya dihubungi Harian Metro, hari ini.

Seperti Naqiu yang menyepi 12 tahun dalam industri hiburan, Tomok mengakui dia juga melalui perkara sama.

"Saya mengharungi onak duri dalam kehidupan dan memahami apa yang Naqiu lalui. Kepada sahabatku (Naqiu), jangan berputus asa dan buktikanlah kemampuan," katanya.

Menurut Tomok, dia menggunakan pentas OIAM pada 2009 untuk memperbaiki vokalnya hingga bergelar juara, malah rezeki dipermudahkan hingga hari ini.

"Tidak kisah sama ada OIAM atau GV, pertandingan ini sama sahaja. Apa yang penting Naqiu gunakan peluang sekali gus membuktikan kita sudah berubah," katanya.

Katanya, dia amat gembira dengan kemunculan semula Naqiu yang terlalu lama dinantikannya.

"Saya menonton persembahan Naqiu malam kelmarin dan dia ada potensi untuk menang. Naqiu perlu tampilkan kelainan dalam persembahan kerana dia memiliki ramai peminat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 3:08 PM