DARI kiri: Adam, Naim, Ezwan dan Shafique. FOTO Zunnur Al Shafiq
Ardini Sophia Sina
hellinie@hmetro.com.my


TIDAK terburu-buru mengejar populariti, kumpulan Neon Band yang dianggotai enam jejaka terus komited menghasilkan lagu berkualiti sebagai sajian buat penggemar muzik tanah air.

Tampil dengan lagu ketiga berjudul Kaca pada pertengahan tahun ini, vokalisnya, Ezwan Ariff berkata, mereka masih giat mempromosikan lagu berkenaan, namun sudah dalam perancangan merakam lagu keempat.

Sudah tiga tahun dalam industri, Neon Band bersyukur kerana lagu mereka mendapat tempat di hati pendengar. Walaupun belum berada pada zon selesa, ia tetap permulaan yang baik untuk meneruskan kembara seni mereka.

“Kami rancang untuk rakamkan lagu keempat dan akan dilancarkan pada November atau Disember. Bagaimanapun, kalau lagu Kaca masih mendapat permintaan, single baharu hanya akan dikeluarkan pada Januari tahun depan.

“Kami tidak mahu ‘membunuh’ lagu Kaca dengan kehadiran single baharu sedangkan naskhah ini masih menjadi pilihan pendengar. Biarlah lagu ini ‘terbang’ tinggi dahulu,” katanya.

Pembabitan Neon Band dalam industri muzik hanyalah bermula daripada hobi. Mereka hasilkan lagu pertama berjudul Cinta Yang Telah Mati hanya sekadar sebagai syarat untuk merasai mempunyai lagu sendiri.

Bagaimanapun, semuanya berubah apabila lagu pertama dan kedua dipilih menjadi runut lagu drama. Impak daripada perkara itu menyebabkan nama Neon Band mulai menjadi sebutan.

“Kami memang minat muzik. Kami main muzik pun hanya sebab hobi. Memandangkan usia bukannya muda lagi, kami hasilkan single pertama sekadar untuk ada lagu sendiri.

“Selepas lagu itu menjadi runut untuk drama, kami mendapat banyak maklum balas positif. Ada yang jumpa mahu buat lagu untuk kami dan ada juga ingin jalin kerjasama.

“Ia membuatkan kami berfikir sama ada untuk serius dalam bidang muzik atau kekal jadikan ia hobi. Bagaimanapun, selepas lagu kedua juga menjadi runut drama, kami putuskan untuk serius dalam bidang ini.

“Kami bukannya muda lagi untuk bersaing dengan penyanyi yang berusia awal 20-an. Tambahan pula, ada rasa bimbang tidak dapat hasilkan lagu yang diterima umum. Namun, sokongan rakan membuatkan kami nekad teruskan karier seni,” katanya.

Walaupun masih bertatih membina nama, Neon Band yang turut membariskan Adam Slv (gitar), Azuad Abdullah (dram), Freddie Kay (keyboard), Naim (bass) dan Shafique Sharif (gitar) tidak terburu-buru menjadikan gimik sebagai pelaris.

“Kami ikhlas dalam karier muzik ini. Kami utamakan kualiti dan percaya strategi ini sudah cukup untuk menarik lebih ramai pendengar.

“Kami tidak mahu menjual dengan bantuan gimik. Kadang-kadang, gimik memang gempak tetapi produk yang dikeluarkan biasa-biasa saja,” kata Ezwan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 5:10 AM