SHAHIR bersedia kembali aktif, kemunculan dalam klip video Erra sebagai permulaan. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my


SELEPAS lama menghilang, penyanyi yang bakatnya dicungkil menerusi program realiti Akademi Fantasia musim kelapan, Ahmad Shahir Zawawi cuba membuat kemunculan kembali dengan menyertai Akademi Fantasia Megastar berlangsung dua tahun lalu.

Ia dilihat peluang terbaik untuk Shahir kembali mencipta nama selepas dia menghilangkan diri secara tiba-tiba saat namanya berada di puncak populariti.

Waktu itu, kecewa dengan pengurusan dan syarikat rakaman didakwa menjadi punca dia mengambil tindakan sedemikian.

Bagaimanapun, di saat laluan untuk dia kembali aktif sedang terbuka luas, timbul pula gosip Shahir menjalin hubungan dengan beberapa wanita, sedangkan pada waktu sama seperti diketahui umum dia berkawan rapat dengan primadona filem alaf baharu, Erra Fazira.

Ia menjadi topik hangat apabila wanita bernama Mona, seorang pramugara tampil dan mendedahkan hubungannya dengan Shahir secara terbuka.

Disebabkan perkara itu juga Shahir dilihat sekali lagi mengambil tindakan ‘lari’ dan menyepikan diri sehinggalah baru-baru ini kembali hangat diperkatakan apabila tampil dalam klip video terbaharu nyanyian Erra Fazira, Menangkah Cinta.

Membicarakan mengenai perkara itu, kata Shahir, memang tujuannya menyertai Akademi Fantasia Megastar untuk kembali aktif sebagai penyanyi.

Bagaimanapun, apabila timbul isu hubungannya dengan Mona membuatkan dia membuat keputusan mendiamkan diri kembali.

“Saya bukan jenis manusia yang akan mempertahankan apa juga gosip atau isu panas cuba dikaitkan dengan diri ini. Pada saya ia tidak akan habis.

“Saya akui perkara seperti itu juga membuatkan saya berasa penat. Niat menyertai bidang seni ini untuk bekerja tetapi apabila perlu berdepan cerita yang boleh membuatkan reputasi menjadi buruk, saya rasa ia seperti mahu melemahkan semangat untuk terus berjuang dalam bidang ini,” katanya.

Disebabkan itu juga, katanya, dia lebih senang sekiranya terus mendiamkan diri dan membiarkan isu yang cuba dikaitkan dengannya reda.

“Saya tidak pernah melupakan bidang nyanyian dan tidak ada niat langsung berhenti menyanyi, tetapi seperti yang dikatakan sebelum ini, banyak sangat isu dikaitkan dengan diri ini dan tiada kaitan dengan kerjaya seni membuatkan saya kecewa,” katanya.

Shahir berkata, dia sedar apa yang dilalui itu sebahagian daripada asam garam mahupun permainan dalam kehidupan sebagai anak seni.

“Tapi biarlah perkara seperti itu ada batasnya, ini tidak. Saya baru saja hendak mula, tetapi fokus yang diberikan adalah kepada perkara tidak membina kerjaya. Sampai sudah nanti orang pun menyampah dan tidak mahu lagi menyokong kerjaya seni saya.

“Kalau itu yang berlaku, takut nanti apa saja yang saya usahakan tidak akan diterima umum. Perkara seperti itulah yang cuba saya elakkan. Cukup-cukuplah dengan cerita kontroversi dan perihal peribadi saya menjadi tumpuan.

“Sedangkan sebagai penggiat seni dan penyanyi, kalau boleh mahu orang memberikan tumpuan kepada bakat yang saya ada,” katanya.

Katanya, kemunculannya dalam klip video Erra juga sebahagian daripada usaha untuk memberitahu kepada umum yang dia sudah kembali aktif menyanyi.

“Sekarang ini saya sudah bersedia untuk kembali bekerja dan kini sedang merangka kembali langkah seterusnya apa yang perlu dilakukan dulu. Saya mengharapkan peminat masih setia dan akan terus menyokong kerjaya seni ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 5:00 AM