MAZLEELA tidak dapat menahan perasaan hiba dan mengalirkan air mata apabila dapat menyanyi di atas pentas program realiti, Gegar Vaganza. FOTO Eizairi Shamsudin
Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my


PENYANYI, Mazleela tidak dapat menahan perasaan hiba dan mengalirkan air mata apabila dapat menyanyi di atas pentas program realiti, Gegar Vaganza (GV) musim keenam.

Menjelaskan mengenai perkara itu, Mazleela yang pernah popular dengan lagu Tabah berkata, pembabitannya dalam program realiti membuatkan dia teringat kepada bekas pegawai perhubungan awam bekas syarikat rakamannya, Suria Records (SRC) iaitu Allahyarham Bahanordin Deraman atau Bad.

Bad pernah menguruskan kerjaya seni Mazleela sewaktu penyanyi berasal dari Johor Bahru, Johor bernaung di bawah syarikat rakaman SRC dan menghasilkan lima album.

“Kalaulah arwah Bad masih hidup, rasanya dia orang paling gembira dengan pemilihan saya untuk menyertai GV.

“Saya juga percaya kalau dia masih ada, tentu arwah menjadi orang paling sibuk bagi memastikan persiapan saya untuk tampil menyanyi dan bertanding di atas pentas nampak sempurna,” katanya.

Katanya, apabila menyanyi dia teringat mengenai arwah Bad, kerana Allahyarham juga antara individu yang memberikan dirinya galakan untuk menyertai program realiti terbabit.

“Sebenarnya sejak program realiti GV diterbitkan, arwah Bad sering menyarankan untuk menyertainya dan ketika itu saya belum ada keyakinan.

“Selepas dipujuk beberapa kali barulah saya cuba memberanikan diri tetapi waktu itu rezeki belum berpihak kepada saya,” katanya.

Bagaimanapun, apabila dia dipilih untuk bertanding tahun ini, Bad meninggal dunia.

Bad dilaporkan meninggal dunia pertengahan Jun lalu, akibat komplikasi kencing manis.

Sepanjang berkhidmat bersama SRC, antara artis lain yang turut berada di bawah jagaan Allahyarham adalah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Noraniza Idris, Liza Hanim dan New Boyz.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 6:56 PM