NABIL (enam dari kiri) sudah enam tahun mengacarakan Gegar Vaganza dan tidak kisah dengan komen warganet. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohd_helmi@mediaprima.com.my


"SAYA bukan biadap tetapi itu adalah skrip jalan cerita," kata pengacara dan pelawak, Nabil Ahmad, 36, yang menepis dakwaan warganet mengatakan dirinya terus mengekalkan sikap 'kurang ajar' ketika mengacarakan Gegar Vaganza (GV) musim keenam, malam tadi.

Nabil berkata, dia sudah lali dengan kritikan warganet yang sebelum ini melabelkannya dengan perkara sama.

"Sudah enam tahun saya mengacarakan Gegar Vaganza dan tidak kisah dengan apa yang mereka mahu cakap," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Malam tadi, rancangan realiti yang menjadi kegemaran ramai itu bersiaran secara langsung dengan menampilkan 13 peserta termasuk penyanyi otai.

Ia yang turut disiarkan di laman sosial menyaksikan warganet menzahirkan kekecewaan terhadap Nabil kerana mengekalkan sikap tidak menghormati orang lain.

Pemantauan di ruangan komen Facebook mendapati warganet menyifatkan Nabil sama seperti dulu apabila mempermainkan penyanyi berpengalaman seperti Jatt Ali dan Wann.

“GV tetap menjadi GV. Saya tetap dengan cara ini untuk menghiburkan orang lain,” katanya.

Menurutnya, jenaka sebegitu dibenarkan ketika bersiaran langsung dan sebaik program berakhir, dia menghormati semua orang terutama mereka yang lebih berusia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 5:45 PM