Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


PENGALAMAN menjalani kehidupan di penjara dengan dikenakan sebatan cukup menginsafkan Ameng, 50.

Sangat menghargai peluang baharu diperoleh kini, Ameng nekad mahu menghabiskan sisa hidup dengan berbakti ke jalan Allah.

Menyedari ramai rakan seangkatan sekitar era 90-an lalu memerlukan bantuan, Ameng sedia menabur bakti.

Menerusi Nizam Laksamana Production (NLP) dan Saudagar Seni, Ameng berganding bahu terbabit dalam persembahan amal Artis Legenda 90-an (2.0) pada 31 Januari tahun depan.

Berbicara pembabitannya, Ameng atau nama sebenar Wan Aminuddin Wan Ismail berkata, dia berminat meneruskan kerjasama untuk program amal itu kerana kejayaan persembahan terdahulu.

Katanya, sekitar Februari lalu, dia terbabit dengan persembahan amal ini yang kali pertama dianjurkan dan sambutan sangat hebat.

“Malah, matlamat persembahan amal ini sangat murni apabila ia dianjurkan bertujuan mengumpul dana membantu golongan memerlukan.

“Bagi persembahan amal Artis Legenda 90-an (2.0) pada tahun depan, sasaran golongan dibantu adalah penggiat seni seangkatan saya.

“Tak dinafikan, ramai yang hidup susah dan memerlukan bantuan. Jadi, semoga apa diusahakan ini dapat membantu,” katanya.

Selain Ameng, penyanyi lain turut menyertai persembahan adalah Nizam Laksamana, Amir Ukays, Gmie Screen, Ali XPDC, Sham Visa, Zarul Umbrella dan penyanyi popular, Khai Bahar.

Berbicara lanjut, Ameng berkata, kehidupan sebagai penggiat seni penuh dengan dugaan terutama apabila sudah berusia.

“Tidak ramai yang bernasib baik dengan karier seni dibina masih bersinar hingga kini. Untuk saya, alhamdulillah rezeki masih ada.

“Bagaimanapun, wajar untuk saya peka dengan nasib dialami rakan seangkatan. Jadi, harapan saya semoga usaha ini berjaya,” katanya.

Ditanya juga dirinya yang sering dipanggil ‘ustaz’, Ameng berkata, ia sekadar sapaan daripada rakan rapat.

“Saya belum layak dipanggil ‘ustaz’ kerana dalam proses menimba ilmu. Saya masih kurang dalam ilmu agama

“Sekarang pun, saya dalam proses memperbaiki diri ke arah lebih baik. Apatah lagi, umur sudah bersisa.

“Sebelum kembali kepada Pencipta, diharapkan dengan masa yang ada ini saya dapat melengkapkannya dengan amal kebajikan,” katanya.

Ditanya juga berkaitan lagu akan dipersembahkan, Ameng berkata, dia kini menyenarai pendek beberapa lagu popular pernah dinyanyikan bersama kumpulan Spring.

Meskipun kini aktif menyanyi secara solo, Ameng berkata, jadual aktivitinya agak padat sehingga Mac tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 6:10 AM