HAFIZ tidak mahu kontroversi yang memeritkan dan pernah melanda rumah tangga dulu berulang. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


PENYANYI dan komposer terkenal Hafiz Hamidun mengakui masih dalam fasa mengenali hati budi dengan selebriti media sosial berstatus janda dari negara seberang sejak setahun lalu.

Menurut Hafiz, 35, dia selesa berkawan dengan usahawan wanita berusia 20-an itu kerana personalitinya yang menyenangkan.

“Selepas bercerai, saya sebenarnya tidak serik untuk berkawan dengan mana-mana wanita atau menutup pintu hati berkahwin lagi.

“Setakat ini, hubungan saya dengan wanita terbabit juga berjalan dengan baik walaupun dia menetap di Indonesia,” katanya kepada Harian Metro.

Mengenai perancangan untuk berkahwin pula, katanya, dia tidak meletakkan sasaran tertentu bila akan melangkah ke fasa perkahwinan lagi.

“Perkahwinan bukan fokus utama saya sekarang berbeza ketika dua tahun lalu.

“Namun, saya tidak pula menolak jika jodoh datang cepat kerana jika ada jodoh, adalah,” katanya.

Buat masa ini, kata Hafiz, fokus dan keutamaannya adalah pada karier seni dan bisnes diceburinya.

“Banyak perkara yang perlu diselesaikan terlebih dulu sebelum saya merancang untuk ke fasa perkahwinan.

“Jika dua tahun lalu, saya memang ada sasaran untuk berkahwin tetapi perkahwinan pula berakhir dengan perceraian.

“Apapun, saya reda kerana percaya ia bukan salah saya dan tidak menyalahkan sesiapapun perceraian yang berlaku kerana ia ketentuan Allah SWT,” katanya.

Bagaimanapun katanya, dia juga lebih berhati-hati dalam menjalinkan hubungan atau perancangan untuk berkahwin selepas ini.

“Saya tidak mahu kontroversi yang memeritkan dan pernah melanda rumah tangga dulu berulang.

“Cukuplah apa yang sudah berlaku dulu. Saya berasa lemah semangat hingga kehidupan dan prestasi kerja terganggu selama berbulan dulu.

“Bayangkan, saya pernah berasa mahu tidur saja ketika itu dan menganggap kontroversi yang berlaku dalam rumah tangga dibina itu hanya mimpi buruk,” katanya.

Terdahulu, Hafiz pernah berkahwin dengan usahawan kosmetik, Joy Revfa pada 1 Mei 2017 tetapi bercerai talak satu pada 25 Oktober 2017 selepas lima bulan mendirikan rumah tangga.

Kemelut rumah tangga pasangan itu tercetus selepas Hafiz berasa ragu dengan status perkahwinan mereka apabila Joy gagal menyerahkan sijil perceraian perkahwinannya terdahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 3:43 PM