FILEM Geran lakonan Fad temui penonton hari ini. FOTO: Salhani Ibrahim
Oleh Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


WALAUPUN sudah lima tahun membabitkan diri dalam bidang seni, Fad Anuar tidak kisah dirinya belum dikenali.

Pelakon berusia 30 tahun ini berkata, apa yang penting hasratnya untuk menjadi pelakon yang berkualiti terlaksana.

Selain itu, pelakon yang memiliki ilmu seni mempertahankan diri, silat juga mahu mengangkatnya dalam bidang lakonan yang diceburinya.

“Saya tahu bukan mudah untuk popular apatah lagi kita tidak mempunyai kelebihan atau perkara yang menarik untuk dikongsi.

“Saya pula bukanlah jenis orang yang suka mencari kontroversi dan publisiti murahan dengan kisah peribadi.

“Bagi saya kualiti lakonan paling utama dan akan kekalkan perkara itu sampai bila-bila,” katanya.

Fad berkata, walaupun perlu mengambil masa untuk popular sasaran utamanya mengangkat seni silat perlu diberi keutamaan.

Buat kali pertama Fad tampil dalam filem pertama lakonannya yang mengetengahkan seni silat bertajuk Geran.

Filem yang menemui penonton di seluruh pawagam tanah air pada hari ini (10 Oktober) turut menampilkan Aeril Zafrel, Namron dan Azlan Komeng.

“Ini adalah filem pertama saya yang menampilkan seni silat dan kepuasan apabila dapat muncul dalam filem bergenre seperti itu.

“Harapan saya selepas ini lebih banyak ditawarkan watak seni mempertahankan diri sama ada dalam filem mahupun drama,” katanya.

Terdahulu, pemuda berasal dari Kemaman, Terengganu ini memulakan karier lakonan pada 2014.

Antara drama lakonan Fad ialah Dia Anak Jeneral, Sumpah Ibu dan selain itu Fad juga aktif berlakon iklan komersial.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 5:00 AM