BUTTERFINGERS ubat kekecewaan peminat menerusi Konsert Transcendence 20 Tahun.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


“HANYA koleksi daripada era album Transcendence dan ke bawah yang akan ditampilkan dalam Konsert Transcendence 20 Tahun di Stadium Malawati, Shah Alam pada 2 November ini.

“Kami tidak akan menyampaikan lagu selepas album itu kerana rasanya peminat kami ramai pada era itu,” kata pemain gitar dan keyboard kumpulan grunge popular tanah air Butterfingers, Loque.

Peminat fanatik kumpulan yang sinonim dengan panggilan Butter itu tentunya maklum, Emmet (penyanyi), Loque (penyanyi/ gitar/ keyboard), Kadax (bass) dan Loko (dram) akan kembali bergabung menghiburkan peminat selepas kali terakhir melakukannya pada 2016.

Paling tragis, persembahan pada Festival Rockway 2016 terhenti separuh jalan apabila disekat pihak polis.

Loque berkata, idea untuk mengadakan konsert ini sudah lama tersimpan dan ini tahun terbaik untuk merealisasikannya.

“Ia sudah lama ada dan dirancang sejak awal 2019 tetapi diperap bagi menanti masa sesuai. Sekarang masa terbaik untuk kami menjayakannya.

“Apa yang pasti, menerusi konsert ini kami mahu menebus semula kekecewaan peminat terhadap apa yang berlaku dulu.

“Ia juga jawapan kami terhadap peminat yang sering bertanya bilakah Butter akan mengadakan ‘reunion’,” katanya.

Menurutnya, Transcendence sebagai latar konsert kerana album ketiga ini membawa mereka menembusi pasaran komersial sejak penubuhan pada 1996.

“Kami awalnya bermula sebagai kumpulan indie dan Transcendence menjadi pencetus Butter dikenali secara komersial.

“Peminat kami semakin bertambah apabila muzik kami diterima hingga menyaksikan album ini terjual melebihi 60,000 unit.

“Istimewanya dalam konsert kami nanti, kami akan membawa peminat untuk kembali berada pada zaman lewat 90-an,” kata Loque.

Kadax pula menambah, lagu mereka ditampilkan dalam bentuk asal tanpa ada pengubahsuaian atau penambahan elemen baharu.

“Kami mengibaratkan konsert ini seperti mesin masa untuk kembali ke era 90-an,” katanya.

Selain Transcendence, Butterfingers menghasilkan lima lagi album studio, antaranya 1.2 Milligrams (1996), Butter World Pushful (1997) dan Selamat Tinggal Dunia (2005).

Mereka terus menyepikan diri selepas itu dan hanya Loque yang aktif bersama kumpulannya MonoloQue.

“Saya ibaratkan apa yang saya buat di luar kumpulan seperti bermain dalam English Premier League (EPL) manakala Butterfingers adalah pentas Piala Dunia.

“Saya suka berkarya dan apabila tiba masa, kami bergabung semula demi peminat,” katanya.

Bagi Kadax pula, fokus mereka kini hanya pada keluarga dan muzik pula kedudukan kedua.

“Bagaimanapun, kami masih berada dalam industri dan gembira dengan apa yang dilakukan,” katanya.

Biarpun jauh di Kanada, Emmet yang turut serta menerusi panggilan video pada sidang media yang diadakan mengakui keistimewaan konsert itu.

“Istimewa kerana kembali menggabungkan kami di atas satu pentas. Ia juga akan bawa peminat mengimbau nostalgia lalu menerusi persembahan yang masih mengekalkan identiti Butterfingers seperti yang dikenali ramai,” katanya.

Butterfingers akan menyampaikan lebih 20 lagu dalam konsert anjuran bersama Unifi sempena Festival Selangor Youth Republic 2019.

Tiket konsert boleh dibeli menerusi airasiaredtix.com pada harga RM115, RM165 dan RM265.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 5:10 AM