WAHEEDA
Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@hmetro.com.my

PENYANYI yang terkenal dengan lagu Wassini, Waheeda, 41, kini sedang menggilap penyanyi muda untuk mempersembahkan karya yang mampu membina masyarakat.

Pemilik nama sebenar Norwahidah Abdul Wahab ini berkata, dia mahu artis yang diketengahkan boleh menyampaikan lagu nasihat, kerohanian, kritis dan berilmiah.

“Saya tidak mahu lagi menghasilkan lagu berbentuk percintaan. Kita sudah menuju ke depan, beringatlah ilmu dan agama amat penting,” katanya.

Pemenang Kategori Irama Malaysia pada Anugerah Juara Lagu 2003 ini menepis dakwaan mengatakan dirinya ‘hilang’ selepas mendirikan rumah tangga dengan penceramah bebas, Akhil Hayy Rawa pada 2009.

“Saya tidak pernah hilang sebaliknya berkarya di rumah di Damansara. Saya memiliki studio sendiri dan lebih selesa menghasilkan lirik dan lagu,” katanya.

Jelasnya, sejak 2009 hingga kini dia menghasilkan 50 lagu yang dinyanyikan oleh penyanyi baharu.

Tanpa menamakan penyanyi berkenaan, Waheeda mahu mengubah minda masyarakat bahawa industri hiburan tidak semestinya berhibur semata-mata.

“Saya lebih selesa menghasilkan lagu berkaitan kehidupan seharian, sejarah dan kehidupan realiti. Saya menyukai kehidupan sebenar maka terhasillah lagu berbentuk kritis,” katanya.

Kata Waheeda, dia mahu setiap karya yang dihasilkan memberi manfaat dan lebih penting pendengar terdidik.

“Penyanyi yang sedang digilap tidak perlu memiliki ramai pengikut di laman sosial. Apa yang penting mereka berbakat, berkualiti dan ada kesungguhan,” katanya.

Pelakon utama filem I Know What You Did Last Raya itu kini bergerak melalui produksinya, Clef dan komited untuk menghasilkan karya yang membina.

Pemenang Album Pop Etnik Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) 2005 dan 2008 ini turut menegaskan dia tidak pernah merindui zaman kegemilangannya.

“Saya tidak rindu zaman lalu dan tidak akan kembali ke arah populariti itu. Saya lebih selesa dengan kehidupan sekarang dan melakukan kerja belakang tabir,” katanya.

Menurutnya lagi, lebih penting adalah kehidupannya bahagia bersama suami tercinta biarpun belum memiliki anak sendiri.

“Akhil bukan saja suami, tetapi dia teman baik. Sepanjang mendirikan rumah tangga, saya membesarkan dua anak suami selain mendalami ilmu agama,” katanya.

Pada awal pembabitan dalam dunia seni, Waheeda memberitahu bukan mahu menjadi penyanyi sebaliknya ia permintaan produser.

“Sejak awal saya mahu menghasilkan lirik lagu dan alhamdulillah, kini ke arah itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 5:00 AM