AFGAN turut berharap dapat berduet lagi dengan Sheila selepas jayakan Konsert Inspirasi Afgan Live
Oleh Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


MESKIPUN sebelum ini pernah menyatakan konsertnya kali ini adalah yang terakhir di Malaysia, penyanyi dari seberang, Afgan mengakui sangat teruja setiap kali mengadakan persembahan di negara ini.

Hadir menghiburkan peminat di Pusat Konvensyen HGH, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu, Afgan, 30, berkata, sambutan hangat peminat membuatkan dia mahu selalu mengadakan konsert di negara ini.

“Saya rasa gembira dan teruja setiap kali mengadakan persembahan di sini. Peminat di sini luar biasa sambutan mereka terhadap saya.

“Kalau boleh saya mahu mengadakan persembahan di sini selalu, rasa senang dapat menghiburkan peminat,” katanya pada Konsert Inspirasi Afgan Live di Kuala Lumpur 2019.

Pada konsert berkenaan tidak hanya peminat dari Kuala Lumpur malah ada yang datang dari Indonesia dan Brunei.

Malah Afgan turut meluahkan rasa teruja apabila ada peminat yang sanggup datang dari Brunei kerana dia menyimpan hasrat mengadakan persembahan di sana satu hari nanti.

BERDUET bersama Sheila Majid.

Afgan atau nama sebenarnya Afgansyah Reza berkata, konsert ini juga persembahan pertamanya selepas sebulan berehat daripada bidang seni.

“Sepanjang September lalu saya ke Amerika Syarikat untuk berehat dan mencari material baharu untuk album Inggeris yang bakal dilancarkan nanti.

“Saya mahukan sesuatu yang lain daripada kebiasaan persembahan saya dan kerana itulah peluang bekerja sambil bercuti saya manfaatkan sebaik-baiknya,” katanya.

Lebih istimewa, konsert anjuran Popcorn Studio Sdn Bhd itu turut menyaksikan artis kesayangan Afgan, Datuk Sheila Majid turut beraksi.

Afgan berkata, sejak kecil dia sangat meminati Sheila dan sehingga ke hari ini dia masih mengaguminya.

“Terima kasih kepada penganjur kerana merealisasikan impian saya untuk berduet dengan Kak Sheila. Memang sejak dulu saya sangat berharap dapat berkongsi pentas dengan penyanyi yang menjadi idola sejak dulu hingga sekarang dan selamanya.

“Saya berharap selepas ini kami diberi peluang berduet dan berkongsi pentas lagi,” katanya.

Afgan berduet dengan Sheila menerusi lagu Begitulah Cinta. Selain itu Sheila turut menyanyikan lagu popularnya iaitu Antara Anyer dan Jakarta serta Sinaran.

Konsert yang membuka tirai pada jam 9 malam itu dimulakan dengan persembahan pembukaan oleh kumpulan Arjuna.

Afgan kemudian tampil di pentas mempersembahkan lagu Jalan Terus dan Katakan Tidak. Seperti biasa, vokal hebatnya membuatkan penonton terpegun dan jatuh cinta berkali-kali.

Bukan saja hebat sebagai penyanyi, Afgan juga bijak berkomunikasi dan mengambil hati peminat sepanjang persembahan. Celotehnya membuatkan dia semakin dekat dengan peminat malah Afgan tidak teragak-agak turun dari pentas bertemu penonton beberapa kali.

Dia turut mempersembahkan himpunan lagu popular dan baharu seperti Pesan Cinta, Kata Hati, Sadis, Sabar, Knock Me Out, Bawalah Cintaku, Dia Dia, Cinta Dua Hati, Heaven, Bukan Cinta Biasa dan Panah Asmara.

Terus menghargai peminat yang hadir, Afgan mempersembahkan lagu Terima Kasih Cinta sebagai penutup konsertnya pada malam berkenaan. Membuat kejutan dengan menyanyi di bawah pentas dan diasak dengan semua peminat, Afgan kekal tersenyum menyanyi sambil melayan peminat yang ingin bergambar bersamanya.

Nyata peminat yang hadir pada malam berkenaan pulang dengan senyuman puas dan ia akan menjadi kenangan indah buat penyanyi itu serta pengikut setianya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 5:15 AM