LIMA artis popular bakal memeriahkan Celcom XPAX Kejohanan E-Sukan Kampus Zon Tengah.
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


LIMA artis terkenal tanah air bakal memeriahkan Celcom XPAX Kejohanan E-Sukan Kampus Zon Tengah yang bakal berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini di Dewan Berlian, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam, Selangor.

Nama besar seperti Wany Hasrita, Nabila Razali, Haqeem Rusli, Muna Shahirah dan Amir Hasan akan menghiburkan penonton dalam satu konsert mini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Digital (MPD), Rafiq Razali, konsert mini dianjurkan bukan sahaja menghimpunkan bakat e-sukan IPT tempatan tetapi juga peminat artis kegemaran yang membuat persembahan.

“Selepas berjaya menganjurkan XPAX Kejohanan E-Sukan Kampus Semester 1 (#XPAXKEK), MPD dan Celcom Axiata Berhad meneruskan penganjuran edisi kedua kejohanan e-sukan terbabit, dalam misi mencari bakat terbaik dalam kalangan pasukan e-sukan kampus di institusi pengajian tinggi seluruh negara bagi merebut hadiah tunai bernilai terkumpul RM180,000.

“Melihat kepada komuniti e-sukan yang terus berkembang, #XPAXKEK bukan sahaja bertindak sebagai platform untuk mencari bakat muda kita tetapi turut sama membabitkan penyertaan akar umbi di seluruh Malaysia.

“#XPAXKEK bukanlah sekadar acara hujung minggu sebaliknya ia adalah acara untuk mendidik, menghibur dan membantu komuniti e-sukan tempatan meluaskan sayap serta potensi dan peluang karier mereka di masa hadapan.

“Apa yang menarik kami turut bawakan konsert mini menampilkan lima artis popular bagi memeriahkan acara terbabit nanti,” katanya.

Dianjurkan MyGameOn, portal permainan kendalian MPD dengan kerjasama rakan strategik e-sukan Kitamen, acara itu akan diadakan di lima zon berbeza di seluruh negara.

Rafiq berkata, selepas berjaya menarik lebih 17,000 pengunjung dan 2.2 juta tontonan video dalam edisi sebelumnya, #XPAXKEK akan mempertaruhkan dua judul permainan mudah alih popular di dunia, Mobile Legends Bang Bang dan PUBG Mobile ke dalam arena.

“Pemenang setiap zon akan bertanding di ‘grand final’ untuk merebut kejuaraan utama akhir November ini di Kuala Lumpur.

“Kampus dengan mata terkumpul paling banyak berpeluang membawa pulang biasiswa bernilai RM50,000, tajaan jenama belia unggul Celcom, Celcom XPAX, sebagai satu inisiatif mereka memperkasa e-sukan di Malaysia.

“Edisi kedua #XPAXKEK akan turut menampilkan beberapa elemen seperti mendidik belia menerusi siri forum e-sukan bersama pemain industri, KEK Trial di mana pengunjung berpeluang memenangi hadiah menarik dengan menyertai permainan ditawarkan selain mencuba pengalaman permainan lain yang ada,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Oktober 2019 @ 5:45 PM