FARRA Umyra
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@hmetro.com.my


PENYANYI baharu, Farah Umaira, 31, percaya sentuhan Akim dan Stacy dalam penciptaan single keduanya, Tetap Setia menepati cita rasa pendengar.

Bernaung di bawah dua artis terbabit sejak Ogos lalu, Farah yakin lagu yang diterbitkan pada 21 September lalu memiliki aura tersendiri.

Mana tidaknya, hanya seminggu dimuat naik di YouTube ia meraih 109, 204 tontonan dengan menerima pelbagai reaksi positif.

Biarpun begitu, anak jati Gombak, Selangor ini sedikit tersinggung apabila segelintir warganet meminta lagu terbaharunya dinyanyikan Stacy atau Ara Johari.

“Saya menerima setiap reaksi yang diberikan dengan hati terbuka. Secara keseluruhan, ramai memuji,” katanya pada majlis pelancaran baru-baru ini.

Farah yang meminati Datuk Siti Nurhaliza memberitahu lagu itu berkisar mengenai kesetiaan wanita yang ditinggalkan teman lelaki.

Dia yang memiliki perniagaan kafe mahu melebarkan bakat nyanyian dengan memberikan komitmen penuh sebagai penyanyi.

Bakal menjayakan empat persembahan bulan depan, Farah akan bergandingan dengan Caliph Busker untuk single seterusnya hasil ciptaan Akim dan Stacy.

“Saya rasa bertuah bernaung di bawah mereka dan percaya dengan kemampuan Akim. Kebanyakan lagu yang dihasilkan bersesuian dengan jiwa dan diterima semua golongan,” katanya.

Sepanjang menjadi anak didik, Farah lebih dekat dengan Stacy yang berkongsi cara menjiwai nyanyian dan sebutan lagu.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu mahu memperjuangkan genre balada dan sesekali menyanyikan lagu tradisional.

Farah yang bernaung di bawah syarikat Rhythym & Rhyme Entertainment optimis untuk bertapak dalam industri seni biarpun sudah berusia 30-an.

“Umur bukan penghalang kerana kejayaan sebenar terletak pada kemerduan lagu dan nyanyian. Lagipun, saya percaya Akim dan Stacy sentiasa membantu,” katanya.

Dia yang mula bernyanyi secara serius pada 2008 memiliki single pertama berjudul Hancur Dalam Waktu yang disiarkan di YouTube 23 Mac tahun lalu dan meraih 514,049 tontonan.

Menyambung pengajian Sarjana Muda di Universiti Wales berpangkalan di Kuala Lumpur, Farah yang juga aktif dalam aktiviti kebajikan apabila menubuhkan Yayasan Harapan Artis OKU Malaysia pada Mac lalu.

“Badan bukan kerajaan (NGO) ini didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Malaysia (ROS) dengan tujuannya membantu seniman jalanan membabitkan OKU,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Farah akan bekerjasama dengan Caliph Busker untuk persembahan jelajah di 10 loksi terpilih tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Oktober 2019 @ 5:50 AM