BABY Shima.
Ardini Sophia Sina
hellinie@hmetro.com.my


PENYANYI Baby Shima menjelaskan dia masih menunggu maklum balas daripada pihak polis berhubung laporan terhadap seorang warganet yang menulis komen berbaur lucah di Instagram miliknya.

Shima ketika dihubungi berkata, dia membuat laporan berkenaan di Balai Polis Mutiara Damansara pada Sabtu lalu dengan tujuan memberi pengajaran kepada individu yang menyalahgunakan media sosial.

“Saya masih menunggu berita daripada pihak polis dan harap dapat selesaikan kes ini dalam masa terdekat.

“Saya kecewa apabila banyak mesej berbaur lucah yang saya terima di Instagram ialah dari Malaysia sedangkan peminat dari Indonesia tidak begitu,” kata Shima.

Di Instagram, Shima turut memuat naik paparan komen yang ditulis individu berkenaan serta gambar profil menyebabkan ramai menyelar tindakan lelaki itu.

Bagaimanapun, menerusi ruangan komen pada perkongsian berkenaan, ada individu tampil membela lelaki berkenaan menjelaskan akaun Instagram milik individu berkenaan digodam dan sudah membuat laporan polis.

“Saya ada terbaca juga komen itu tetapi terlalu kerap individu yang buat salah berikan alasan akaun mereka digodam bagi melepaskan diri daripada tindakan undang-undang.

“Apapun, hanya selepas mendapat maklum balas daripada pihak polis barulah saya boleh buat tindakan selanjutnya. Setakat ini individu terbabit mahupun wakilnya belum menghubungi saya bagi membincangkan perkara ini,” katanya.

Disember tahun lalu, Shima pernah membuat laporan polis atas kes yang sama namun memilih untuk memaafkan pelaku selepas ibu bapa individu terbabit merayu dan memohon maaf atas kesilapan anak mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 @ 6:24 PM