Shuib
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


Pelawak dan penyampai radio Hot FM, Shuib Sepahtu takut digelar jutawan hanya kerana menjalankan beberapa rangkaian perniagaan.

Shuib, 35, atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad berkata, dia belum layak berada di kedudukan itu kerana perniagaan diusahakan ada untung dan rugi.

“Saya takut nak digelar juwatan. Saya ini bukan sesiapa. Saya penyampai radio dan makan gaji. Ada buat bisnes tetapi ia biasa sahaja dan ada masa untung dan rugi. Ada masa okay, ada masa tak. Malah, banyak lagi tak okay.

“Kalau nak tahu, saya hampir putus asa juga. Biasalah, hati manusia mudah berbolak balik. Namun, dalam perniagaan yang saya buat ini untuk kehidupan orang lain juga. Jadi kena teruskan juga.

“Sebab ada yang mungkin masih bergantung dengan kita menerusi gaji yang mereka dapat untuk menampung keluarga. Jadi kena jalan juga dan saya bekerja keras. Belum lagi soal kerjaya seni, memang peninglah juga.” katannya kepada Harian Metro.

Shuib yang sudah tujuh tahun terbabit dalam bidang perniagaan mengakui masih mempunyai hutang yang banyak terutama aset yang dimiliki.

“Kalau jutawan kena ada berjuta-juta dalam akaun. Saya pula sebaliknya iaitu hutang berjuta. Malah, rumah pun hutang lagi dan bukannya beli tunai. Saya belum sampai tahap itu. Kalau orang lain, saya tak pasti pula.

“Kadang rezeki bukan sahaja dalam bentuk duit tetapi doa yang mana orang mendoakan kesejahteraan dan kesihatan kita. Saya fikir mungkin Allah berikan rezeki di situ.

“Diakui duit ada dan selesa sikit daripada kehidupan sebelum ini. Kalau nak sesuatu bolehlah dapat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 @ 4:18 PM