SEMUA anggota Exists miliki kelebihan dan pengalaman luas dalam bidang muzik. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@mediaprima.com.my


HANYA berbaki dua hari konsert Reunion Exists bakal berlangsung Sabtu ini di Stadium Malawati, Shah Alam.

Walaupun sebelum ini berhadapan dengan dugaan apabila penyanyi asalnya, Mamat ditahan polis atas kesalahan dadah, namun masalah terbabit dapat diselesaikan.

Latihan kini giat dijalankan sebagai persiapan terakhir dan ketika ditemui, semua anggota Exists yang kembali bersatu untuk konsert ini meluahkan rasa teruja.

Konsert Exists Reunion buat pertama kalinya dalam sejarah menggabungkan semua formasi asal Exists iaitu Musa (bass), Along (gitar), Ajai (keyboard), Shah (gitar), Ujang (dram) dan dua penyanyi mereka iaitu Mamat dan Ezad.

Ezad berkata, dalam keadaan sekarang tiada apa yang diharapkan selain diberikan kesihatan yang baik supaya dia dapat memberikan persembahan maksimum.

“Selain meningkatkan kemampuan vokal, saya juga memastikan stamina dijaga. Untuk menyanyi dalam konsert berdurasi kira-kira dua jam bukan saja memerlukan kekuatan fizikal tetapi juga mental,” katanya.

Menyentuh mengenai gandingannya bersama Mamat, Ezad berkata, mereka hanya akan berduet dalam dua atau tiga lagu dan selebihnya secara berasingan.

“Saya akan menyanyi lebih lagu memandangkan saya bersama Exists lebih lama dan menghasilkan banyak album bersama mereka berbanding Mamat. Namun, walaupun Mamat bersama Exists tidak lama tetapi banyak juga lagu popular Exists nyanyiannya,” katanya.

Menurut Ezad, sebagai penyanyi dia tidak berasa tertekan sebaliknya teruja mahu menyanyi di hadapan peminat Exists.

“Sebagai penyanyi, saya cuba memberikan sesuatu yang tidak pernah mereka rasai dalam mendendangkan lagu-lagu popular Exists,” katanya.

Sementara itu, Musa berkata, istimewanya konsert ini ialah apabila mereka tidak menggunakan khidmat pengarah muzik.

“Ini kerana semua anggota Exists mempunyai kelebihan dan pengalaman luas dalam bidang muzik. Apabila tidak bersama ada antara kami mengejar kerjaya masing-masing dengan bermain muzik untuk artis antarabangsa, komposer berjaya dan pengarah muzik.

“Dengan kelebihan itu, saya yakin persembahan bakal dilakukan ini akan memberikan kepuasan kepada peminat dan wang dikeluarkan untuk membeli tiket berbaloi,” katanya.

Menurutnya, paling istimewa untuk konsert ini adalah peminat akan melihat Shah yang popular dengan kumpulan Slam akan kembali bersama Exists.

“Ada yang tidak tahu, sebelum menganggotai Slam, Shah adalah anggota asal Exists. Saya sendiri tidak pasti waktu itu kenapa tiba-tiba Shah meninggalkan Exists,” katanya.

Selepas konsert di Stadium Malawati, Exists akan menghiburkan peminat mereka di Singapura pada 5 Oktober depan. Tiket untuk konsert di negara seberang tambak itu sudah habis dijual.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 5:10 AM