LUFYA Omar. FOTO Rosela Ismail
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my

BUNYINYA agak sinis, tapi itu yang ingin saya sampaikan minggu ini. Kisah membabitkan orang industri muzik yang tidak henti-henti menjaja kisah peribadi dengan cara mengaibkan diri sendiri.

Namun, ada juga yang cuba mengundang simpati dengan sengaja membuka privasi hingga sanggup menjatuhkan maruah dan harga diri. Semata-mata untuk memalukan orang lain demi kepuasan hati.

Berbeza pula dengan mereka yang sengaja mahu meraih populariti. Tolak tepi kata nista dan caci maki, asal saja kehendak mereka dipenuhi iaitu dikenali dan terus mendapat publisiti.

Berbalik kepada isu yang saya ketengahkan ini, ia sebenarnya bukan perkara baru lagi. Sudah berulang kali terjadi, tapi seakan-akan tiada kesedaran diri. Keghairahan segelintir selebriti kita ‘menelanjangkan’ diri, ibarat sudah menjadi makanan ruji.

Mengambil contoh status dimuat naik pelakon dan penyanyi Lufya Omar mengenai pergolakan rumah tangga dilalui. Dari permulaan ayat hingga titik noktah, segalanya menceritakan keburukan dan aib suami. Seperti tiada apa yang baik pada lelaki yang pernah dikahwini.

Kesan status itu, si suami mendapat pelbagai tohmahan yang dianggap Lufya sebagai fitnah sebelum mengambil langkah memadam status dimuat naik. Namun, nasi sudah menjadi bubur, segalanya sudah terlambat, fitnah sudah tersebar dan si suami terpaksa berdepan ‘kerosakan’ dibuat si isteri.

Kenapa perlu terjadi perkara sebegini? Sudah hilangkah pertimbangan diri? Atau memang sengaja mahu menjatuhkan maruah diri dan mengaibkan suami? Tidak bolehkah kisah dalam kelambu seperti itu menjadi simpanan peribadi dan diselesaikan tanpa perlu ada yang sakiti?

Saya berasakan, adalah lebih baik jika pengakhiran sesuatu hubungan tidak dicemari dengan perkara yang membawa kehancuran diri. Lebih buruk jika ia akhirnya memakan diri.

Janganlah daripada orang cuba bersimpati akhirnya bertukar kepada rasa benci. Sebabnya, jijik dengan ‘permainan’ yang cuba memanipulasi. Mungkin mereka lupa, masyarakat hari ini tidak mudah diperdaya lagi.

Berbeza situasi dengan pelakon kontroversi yang pernah membintangi drama Anak Pontinak, Zarina Anjoulie. Warganet disajikan dengan ‘pameran’ terbuka di Instagram Strories mengenai penampilan diri.

Sebelum itu, mungkin ramai terlupa Zarina sebenarnya sudah tampil bertudung. Bagi yang mengikutinya di Instagram, dia juga gemar berkongsi kata-kata nasihat kepada individu yang berdepan masalah peribadi.

Jadi, apabila Zarina dengan sengaja ‘membogelkan’ diri dengan menampakkan sebahagian ‘mahkota’ diri, timbul tanda tanya, apa sebenarnya yang cuba dibuat ibu tunggal beranak satu ini?

Adakah itu 'content' untuk Instagram atau memang sengaja nak mempamerkan maruah dan harga diri? Atau mungkin dia percaya, buruk macam mana pun orang memandang dan bercerita mengenainya, dia tetap mendapat publisiti.

Dua situasi berbeza, tapi berlaku dalam suasana yang tidak sedap dipandang mata. Cubalah sekali ini bertindak dengan akal waras bukan dengan nafsu atau emosi semata.

Fikirkan kesan di sebaliknya, bukan untuk diri saja, tapi semua yang berada di sekeliling. Biarlah tidak menemui bahagia, asalkan diri tidak punah angkara ceteknya iman di dada.

Sekali lagi pesan saya, simpanlah malu itu sikit, jangan dengan sengaja dibuka...

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 7:30 AM