PHD Kool FM diterajui Muaz (dari kiri), Haiza dan AG. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Ardini Sophia Sina
hellinie@hmetro.com.my

SETIAP pagi pastinya, kita akan mendengar celoteh riang penyampai radio Hot FM iaitu Shuk, Shuib dan Fizie bagi segmen Geng Pagi Hot (GPH) dan Pagi Hot Di (PHD) Kool FM bersama AG, Haiza dan Muaz.

Mempunyai kelompok peminat tersendiri, mungkin ada dalam kalangan mereka yang belum pernah bertemu empat mata dengan penyampai berkenaan dan teringin bersua muka dengan mereka.

Jadi, sesiapa yang ingin bertemu mereka harus hadir pada acara Hot Kool Jam (HKJ) di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada 28 September ini jam 7.45 malam.

Tidak hanya bersama penyampai kedua-dua radio berkenaan, HKJ turut diserikan kehadiran beberapa penyanyi popular.

Pemilihan selebriti bagi memeriahkan HKJ memenuhi selera bukan hanya anak muda tetapi juga golongan dewasa. Boleh dikatakan, konsep HKJ pada kali ini adalah bagi menghiburkan semua peringkat umur.

Penyanyi yang bakal menghiburkan penonton pada malam itu ialah Khai Bahar, Siti Nordiana, Ismail Izzani, Masdo, Ella, Ziana Zain, Sufian Suhaimi, Neon, Ramlah Ram, Ara Johari dan Datuk Hattan.

Bukan itu saja, penyampai radio Hot FM dan Kool FM juga sudah menyediakan persembahan istimewa buat penonton.

Muaz yang pertama kali menyertai acara ini teruja bertemu peminat mereka di sana. Malah, penonton juga dapat mendengar Muaz menyanyi secara langsung selepas mempelajari vokal dengan penyanyi Mark Adam.

Tidak hanya Muaz, gandingannya Haiza turut menghiburkan penonton pada malam itu. Pastinya mereka yang hadir pada malam itu terhibur dengan telatah lucu mereka.

“Selalunya pendengar stesen radio Kool FM hanya mendengar suara kami. Mungkin bagi pendengar yang kurang menggunakan media sosial, mereka tidak kenal pun rupa penyampai Kool FM.

“Jadi, ini adalah peluang bertemu dan mendekati mereka. HKJ adalah satu tanda penghargaan atas sokongan pendengar di sana,” katanya.

Bagi AG, aktiviti itu juga ruang untuk mereka memperkenalkan terus Kool FM yang baru berusia tiga tahun.

“Tanggungjawab kami agak besar juga untuk menarik lebih banyak pendengar kerana Kool FM mulai bersiaran pada 1 Mac 2016. Selain mencari pengisian menarik, hadir pada aktiviti seperti HKJ juga penting.

“Saya harap HKJ berjalan lancar dan mendapat sambutan ramai. Bukan hanya penyampai yang hadir tetapi juga ada artis popular yang akan menghiburkan penonton,” katanya.


FIZIE (dari kiri), Shuib dan Shuk penyampai Hot FM. FOTO Mahzir Mat Isa

Dalam pada itu, Shuib yang baru menyertai Hot FM pada Februari lalu teruja dengan acara menggabungkan dua stesen radio di bawah Rangkaian Radio Media Prima Berhad itu.

Bagaimanapun, Shuib bimbang dengan keadaan jerebu dengan paras pencemaran pada tahap tidak sihat.

Sehubungan itu, pelakon dan pelawak itu mengingatkan supaya mereka yang ingin hadir mengutamakan kesihatan.

“Pulau Pinang adalah antara kawasan yang terjejas teruk disebabkan jerebu. Oleh itu, saya harap beberapa hari sebelum acara itu keadaan akan bertambah baik dan semua orang boleh datang ke HKJ.

“Apa pun, ingin saya ingatkan agar mereka yang ingin hadir akan utamakan kesihatan. Pakai topeng muka khas untuk jerebu dan minum air yang cukup,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 7:00 AM