SUFIAN
Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@mediaprima.com.my


KEWUJUDAN teknologi komunikasi di laman sosial ketika ini memudahkan interaksi antara artis dan peminat untuk berkongsi apa saja perkembangan terkini.

Bagaimanapun, ada juga segelintir netizen menggunakan laman sosial milik artis untuk mereka melemparkan kecaman seperti apa yang berlaku kepada penyanyi Sufian Suhaimi, baru-baru ini.

Bagi mereka yang mengikuti perkembangan Sufian di laman sosial, jarang kita lihat penyanyi yang kini popular dengan lagu Mencoba itu membidas mereka yang meninggalkan komen berbaur negatif.

Bagaimanapun, baru-baru ini Sufian memuat naik kenyataan dan membidas salah seorang netizen wanita yang agak berusia yang meninggalkan komen dianggap keterlaluan.

Perkara itu berlaku selepas Sufian ada memuat naik gambar mengenai dia mahu melakukan selam skuba dan menulis perkataan rindu.

Bagaimanapun, wanita terbabit mengaitkan tulisan Sufian itu dengan bekas tunangnya juga pelakon, Elfira Loy.

Perkara itu membuatkan Sufian berasakan komen dimuat naik di Instagram itu ada niat tidak baik dan berbaur negatif.

Sufian menegur, namun beberapa ketika kedua-dua kenyataan itu dipadam.

Menjelaskan mengenai perkara itu, Sufian berkata, dia tahu komen yang dimuat naik itu dengan tujuan mahu menimbulkan perasaan bersalah kepada bekas tunangnya.

“Pada saya perkara seperti itu tidak sepatutnya diungkit. Lagipun apa yang berlaku antara kami sudah lama sangat. Rasanya seperti dia pula yang tidak boleh menerima kenyataan dan ketentuan Allah. Perkara seperti itu sangat tidak manis. Hormatilah Elfira dan statusnya sebagai isteri dan bakal menjadi ibu.

“Cuma satu perkara yang saya ingin tegaskan kepada mereka yang suka mengungkit perkara lama dan memberikan komen yang berbaur negatif. Bayangkan orang lain melakukan perkara sama kepada anak perempuan anda. Apa perasaan anda,” katanya.

Menurut Sufian, kalau difikirkan dari kapsyen yang dimuat naik itu pengertiannya agak besar tetapi gambar itu jelas menunjukkan bahawa dia rindu untuk melakukan aktiviti selam skuba lagi.

“Saya sebenarnya rindukan pulau Tioman. Kalau boleh mahu kembali ke sana untuk bercuti dan melakukan selam skuba,” katanya.

Sufian berkata, dia memadamkan kembali komen yang dimuat naik kerana tidak sanggup membaca kenyataan atau komen balas yang dimuat naik beberapa netizen yang dirasakan ayatnya terlalu kasar.

Ada ramai peminat dan netizen golongan muda itu beramai-ramai membidas kembali kenyataan yang dimuat naik wanita terbabit, bahasa yang digunakan sangat tidak manis.

“Mengelak lebih banyak sumpah seranah yang diberikan dengan bahasa terlalu kasar serta tidak mahu memanjangkan perbalahan, saya membuat keputusan untuk memadamkan komen terbabit dan juga komen saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 5:10 AM