MUAZ mengikuti kelas latihan vokal bersama Mark Adam sebagai persediaan beraksi dalam konsert Hot Kool Jam. FOTO Arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


PENYAMPAI radio Kool FM, Muaz mencabar diri dengan menjadi penyanyi menerusi kempen Muaz Kasi Jadi.

Menariknya, Muaz, 35, atau nama sebenarnya Muazanazzuddin Mohamed buat pertama kali menyanyi di pentas berskala besar pada konsert Hot Kool Jam, 28 September ini.

“Bagi mempersiapkan diri, saya dihantar ke kelas vokal penyanyi, Mark Adam selama empat minggu.

“Ia bagi memantapkan lagi vokal dari segi teknikal untuk membentuk suara. Ini semua inisiatif daripada Kool dan dua rakan penyampai iaitu AG dan Haiza,” katanya.

Dalam masa sama, Muaz diberi kejutan oleh Mark Adam dengan menukar lagu yang bakal dinyanyikan nanti, semalam.

“Selaku guru vokal, Mark diberi kepercayaan untuk mendidik dan akan mengenal pasti sejauh mana kemampuan saya dalam bidang muzik.

“Semalam satu lagi kejutan apabila dia membuat pertukaran lagu. Sedangkan sebelumnya saya sudah hafal melodi dan lirik lagu lain iaitu Suaramu Syairku.

“Apa pun, saya ambil ini sebagai cabaran. Saya akan tetap berlatih. Mungkin Mark berasakan saya sesuai dengan lagu lain,” katanya.

Pada konsert Hot Kool Jam di Batu Kawan, Pulau Pinang itu nanti, Muaz akan menyampaikan lagu Belaian Jiwa nyanyian asal kumpulan Carefree.

Kepada pendengar setia Kool FM, khususnya peminat setia Muaz, jangan lepaskan peluang dan catatkan temujanji anda menonton konsert itu nanti.

Dengarkan Pagi Hari Di Kool FM (PHD Kool) setiap hari, Isnin hingga Jumaat dari jam 6 hingga 10 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 9:49 PM