JASMINE tahu haknya sebagai pelakon adalah seperti apa yang tertera di dalam kontrak. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


PELAKON, Jasmine Suraya enggan mengulas lanjut tindakan beberapa rakan pelakon filem Paskal, yang menulis komen di Instagramnya meluahkan mengenai bonus selepas kejayaan filem itu mencecah kutipan sehingga RM30 juta.

Menurutnya, dia sendiri tidak mahu mengeruhkan keadaan dengan memberikan sebarang ulasan mengenainya.

"Saya tak kejarkan sangat bonus ini. Jadi, saya rasa lebih baik kalau tak komen apa-apa mengenainya.

"Itu antara mereka (pelakon) dengan pihak produksi dan saya pun tak mahu keruhkan keadaan kerana ini isu yang sensitif," katanya kepada Harian Metro.

Tambah pelakon berusia 29 tahun itu lagi, dia juga tahu haknya sebagai pelakon adalah seperti apa yang tertera di dalam kontrak.

"Kalau produksi nak bagi, mereka akan bagi. Kalau tidak, tak mengapa. Kalau kita sebagai pelakon menganggap bonus itu sebagai benda yang perlu ada, kita perlu catatkan di dalam kontrak," katanya.

Terbaru, Jasmine kini sedang menjalani penggambaran drama bersiri 28 episod berjudul Adellea Sofea untuk slot Akasia di TV3.

Selain Jasmine, drama itu juga membariskan pelakon lain seperti Mira Filzah, Ungku Ismail Aziz, Fizo Omar, Fauziah Ahmad Daud, Bella Dally dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 9:30 PM