RUMAH Cikgu Salina tak ikut plot cerita seram tempatan.
Oleh Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


MENGHASILKAN karya seram bukanlah tugas mudah buat pembikin filem. Ini ditambah dengan lambakan filem seram atau ‘thriller’ di seluruh dunia yang cukup bagus.

Apa yang pasti, setiap idea baru menghasilkan filem sebegitu harus betul-betul kuat. Perkara ini diakui pengarah, Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin apabila hampir menolak tawaran mengarah filem seram berjudul Rumah Cikgu Salina.

Mukhriz yang sinonim dengan filem aksi berkata, mengarah dan menghasilkan filem seram satu tanggungjawab besar.

Menurutnya, cabaran menjadi lebih besar apabila karya ditulis Ellyna Ahmad itu sekadar rekaan semata-mata.

Bagaimanapun, dia menyahut cabaran mengarahnya bagi menguji diri mengemudi karya sedemikian.

“Saya akui genre seram bukan kepakaran dan kegemaran saya. Saya lebih sukakan filem aksi seperti Ophilia atau filem aksi lain arahan saya.

“Saya sebenarnya hampir menolak tawaran itu namun penerbit tetap memujuk kerana suka dengan filem 7ujuh arahan saya yang juga genre seram. Kalau ikutkan, saya sudah malas buat filem sebegitu tetapi saya akhirnya bersetuju.

“Cabarannya tentu sekali untuk menguatkan jalan cerita karya itu disebabkan ia kisah rekaan. Jadi, saya memang kena buat sendiri dan mengambil inisiatif merujuk filem seram seluruh dunia termasuklah Mama,” katanya.

Berkongsi mengenai di sebalik tabir penggambaran, Mukhriz berkata, ada perancangan yang terpaksa diubah pada saat-saat akhir seperti pemilihan lokasi.

Menurutnya, perubahan itu bagaimanapun tidak mencacatkan perjalanan produksi.

“Ikut perancangan asal, ada beberapa penggambaran sepatutnya dibuat di Eropah tetapi terpaksa dibatalkan. Ini adalah saya tidak boleh ke sana atas komitmen yang lebih mustahak di tanah air.

“Perubahan itu tidak mengganggu jalan cerita filem ini. Sepatutnya idea asal adalah watak Salina berada di luar negara sebelum dia pulang dan menetap ke rumah ibu saudaranya,” katanya.


BARISAN kru produksi dan pelakon yang terbabit.

Mukhriz berkata, dia sangat berpuas hati apabila lokasi yang dipilih untuk keseluruhan cerita sangat menepati dengan kriteria diinginkan.

“Kebanyakan lokasi adalah di daerah terpencil di Pahang dan Lembah Klang. Pemilihan lokasi sedemikian sangat penting dengan mood cerita misteri dan seram.

“Memang ada berlaku sedikit penangguhan penggambaran di luar negara dibatalkan. Namun, saya berusaha sesuaikan lokasi yang dipilih supaya tidak jauh lari dari jalan cerita asal,” katanya.

Bukan sekadar menampilkan pelakon dewasa, Mukhriz berkata, pembabitan tiga pelakon kanak-kanak berusia di bawah umur 10 tahun adalah antara tugasan pentingnya.

“Dua daripada mereka adalah pelakon profesional, manakala seorang lagi adalah wajah baru yang tiada pengalaman. Saya memilihnya kerana dirinya sangat tepat dengan watak yang saya mahukan.

“Saya tidak ada masalah untuk bekerja dengan mereka dan mereka memberi kerjasama serta komitmen terbaik. Bagaimanapun, saya agak kasihan dengan mereka kerana banyak babak membabitkan waktu malam,” katanya.

Bercerita mengenai pendekatan yang digunakan untuk plot cerita filem itu, Mukhriz memutuskan untuk keluar dari kepompong konsep kebiasaan filem seram Malaysia.

Baginya, sangat penting untuk membina serta mengembangkan watak terlebih dulu dan bukannya berterusan disuntik dengan elemen kejutan.

“Ini disebabkan penonton akan lebih mendalami dan menghayati watak itu dengan sangat berkesan. Bukannya awal-awal lagi sudah ada elemen kejutan dan menakutkan. Lebih baik elemen misteri itu dilebihkan supaya jalan cerita jauh lebih menarik,” katanya.

Rumah Cikgu Salina yang bakal ditayangkan pada Mac 2020 dibintangi Pekin Ibrahim, Mona Allen, Dewi Amanda, Alicia Amin, Angelin Tan, Aleeza Kassim, Raja Azura, Badrul Muhayat, Kenji Sawahi dan ramai lagi.

Rumah Cikgu Salina berkisar mengenai kisah misteri yang berlaku di banglo didiami Salina sehingga kanak-kanak di rumah itu mengalami gangguan. Kejadian lebih menakutkan menyusul apabila berlaku kematian yang tidak dijangka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 5:10 AM