PEKIN teringin timang anak seperti pasangan lain.
Oleh Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


SETIAP pasangan suami isteri yang baru berkahwin pasti mengharapkan rumah tangga diceriakan dengan kehadiran cahaya mata.

Bagi pelakon dan pengarah, Pekin Ibrahim yang juga suami kepada pelakon, Mona Allen turut mengharapkan perkara sama.

“Jika ditanya mengenai anak, saya yakin setiap pasangan yang sudah berumah tangga inginkannya. Saya dan isteri memang merancang untuk ke arah itu,” katanya.

Menurutnya, kerjaya sebagai pelakon membuatkan mereka perlu merancang dengan lebih tersusun mengenai pengurusan rumah tangga.

“Saya bukan saja sibuk dengan kerja-kerja seni, tapi dalam masa sama saya juga bergelar pelajar. Jadi, banyak benda yang perlu saya susun supaya teratur.

“Kalau nak tahu, sejak berkahwin kami belum berkesempatan untuk pergi berbulan madu,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan terbarunya, Pekin kini masih lagi sibuk mempromosikan filem terbaru lakonannya, Suatu Ketika: Langitkan Impianmu.

“Filem ini mula ditayangkan sejak 12 September lalu. Ia mengisahkan mengenai semangat kesukanan dalam diri sekumpulan kanak-kanak dan pada masa sama mengangkat elemen perpaduan.

“Selepas selesai dengan promosi filem ini, saya akan kembali ke lokasi penggambaran untuk memulakan penggambaran satu karya terbaru,” katanya.

Diarahkan Prakash Murugiah, Pekin berbesar hati kerana dapat menjadi sebahagian daripada filem ini.

“Prakash seorang pengarah yang berkarisma. Dia melakukan tugasnya bersungguh-sungguh dan itu buatkan saya berbangga kerana menjadi sebahagian daripada filem ini,” katanya.

Selain itu, Pekin juga memaklumkan bahawa dia baru saja selesai menjalani penggambaran untuk filem terbaru berjudul Cikgu Salina.

“Filem Cikgu Salina menampilkan saya dan isteri dan ini adalah filem kedua kami berlakon bersama. Selain itu, ada lagi satu filem berjudul Gaduh yang menampilkan saya bersama Nam Ron yang turut mengarahkannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 5:00 AM