FITRI (kiri) dan PU Riz minta orang ramai memperbanyakkan doa kepada Allah supaya cuaca buruk dan jerebu kembali pulih. FOTO Arkib NSTP
Ridzuan Abdul Rahman
Mohamadridzuan@hmetro.com.my


SELEBRITI tanah air mengakui situasi jerebu yang melanda negara sekarang lebih teruk berbanding tahun sebelumnya.

Mereka bersetuju serta mengalu-alukan saranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang meminta seluruh rakyat Malaysia memperbanyakkan doa kepada Allah supaya cuaca buruk dan jerebu kembali pulih.

Penyanyi lagu genre dakwah, Fitri Haris berkata, dia melihat pelbagai reaksi masyarakat terutamanya di media sosial terhadap jerebu ketika ini.

“Ada yang beri tips hadapi jerebu dan ada yang ambilnya sebagai satu hikmah dengan bermuhasabah diri. Ada yang menuding jari menyalahkan pihak tertentu dan tak kurang ada menjadikan jerebu sebagai bahan jenaka dengan memakai topeng.

“Pada saya, umat Islam khususnya kena melihat hikmah di sebalik jerebu ini. Perbanyakkan berdoa kepada Allah supaya punca jerebu ini dapat diatasi dan dipermudahkan.

“Adalah lebih mudah jika kita ikut dan tak mempersoalkan tindakan yang diambil oleh pemimpin bagi mengatasi masalah ini. Moga kita dapat sama-sama hadapi ujian jerebu ini dengan penuh sabar,” katanya.

Pelakon yang juga bekas peserta Pencetus Ummah (PU) Riz atau nama sebenarnya Muhammad Haris Ismail pula berkata, jerebu yang melanda negara adalah satu ujian dan mempunyai hikmah tersendiri.

“Yang utamanya ialah Allah ingin ampunkan dosa dan berikan kebaikan kepada kita.

“Mana tahu dengan terjadinya jerebu ini, kita tengok secara positifnya mungkin orang akan lebih berhati-hati apabila membuat pembakaran terbuka.

“Allah juga tidak timpakan sesuatu perkara itu kecuali hambanya serta masyarakat di negara ini mampu mengatasinya, insya-Allah,” katanya.

Katanya, semua pihak perlu menjaga kesihatan dan umat Islam perlu menjaga solat.

“Kalau boleh kita beramai mengadakan solat hajat kerana Nabi Muhammad SAW sentiasa meletakkan harapan dan juga permintaannya kepada Allah SWT yang pertama sebelum kita usahakan apa-apa.

“Apabila kita dah usaha dan tawakal dengan adanya pembenihan awan, insya-Allah hujan akan turun dan perkara ini dapat diselesaikan.

“Kita semua hanya perlu ikut arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan,” katanya.

Menurutnya, sebuah hadis nabi pernah menyebut, Tidak Allah timpakan seseorang Muslim itu sesuatu musibah kecuali Allah ampunkan dosanya seperti mana gugurnya daun daripada pokok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 9:48 PM